Kehadiran tiga ekor gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa menggemparkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu malam tadi 2 Jul).

Kejadian mencemaskan kira-kira 7 malam Isnin itu menyaksikan seekor daripada gajah berkenaan mendekati sebuah kenderaan jenis Perodua Axia di bahagian belakang selepas kenderaan lain membunyikan hon.

Beberapa individu terdiri daripada pemandu dan penumpang dilaporkan sempat menyelamatkan diri apabila kenderaan itu dikatakan 'dipijak’ gajah terbabit semasa mereka menghala dari Kelantan ke Perak.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, Perhilitan Perak telah menghantar kakitangan untuk membuat kawalan dan pemantauan di lokasi kejadian pada kira-kira 9.30 malam tadi.

"Bagaimanapun, mengikut siasatan kami, kerosakan kenderaan disebabkan kereta terbabas ke bahu jalan ketika mengelak gajah melintas," katanya.

Yusoff berkata siasatan lanjut sedang dilakukan bagi memastikan sama ada benar gajah itu memijak kenderaan terbabit.

Beliau berkata dua gajah dewasa dan seekor lagi anak gajah berkenaan telah dibebaskan semula ke habitat asal mereka di hutan berhampiran dan meminta orang ramai yang menggunakan laluan itu supaya berhati-hati.

Perhilitan sebelum ini menyeru orang ramai agar tidak membunyikan hon sekiranya terserempak dengan haiwan di jalan raya kerana bunyi hon boleh mencetuskan rasa panik haiwan terbabit, sekali gus membuatkan ia bertambah sukar untuk dikawal.

Kelibat gajah di kawasan itu memang sering dilihat pengguna jalan raya sebelum ini.

- BERNAMA