Kadar tambang MRT mula dikenakan kepada penumpang berkuatkuasa hari ini.

Tambang dikenakan adalah bermula dari RM0.80 ke RM3.90 melibatkan 12 stesen MRT iaitu Stesen Sungai Buloh ke Semantan.

Bagi penumpang yang membuat bayaran tunai, Stesen Sungai Buloh bermula dengan RM0.80 ke Stesen Kampung Selamat; RM1.20, ke Kwasa Damansara; RM2.00, ke Kwasa Sentral RM2.20, ke Kota Damansara; RM3.00, ke Surian; RM3.10, ke Mutiara Damansara; RM3.50, ke Bandar Utama; RM3.80, ke TTDI; RM3.70, ke Phileo Damansara; RM4.00, ke Pusat Bandar Damansara; RM3.80, dan ke Semantan; RM3.90.

Senarai kadar tambang MRT berkuatkuasa hari ini.

Dan caj sama dikenakan jika perjalanan dari Stesen Semantan ke Sungai Buloh.

Manakala, penumpang akan menikmati diskaun antara RM0.10 hingga RM0.50 jika menggunakan kad Touch n Go.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MRT, Muhammad Isom Azis, tambang MRT secara percuma yang dilaksanakan dalam masa sebulan sejak 16 Disember lalu dan berakhir semalam telah menyaksikan kira-kira 1.2 juta penumpang menggunakan perkhidmatan itu.

"Purata 27,000 hingga 30,000 penumpang dicatatkan melibatkan penumpang turun naik MRT terutama semasa cuti dalam tempoh freeride berkenaan. Namun, kita berharap jumlah itu akan meningkat apabila laluan MRT selepas Sematan beroperasi nanti," tambahnya lagi.

Tambahnya, tambang MRT dan LRT adalah sedikit berbeza memandangkan faktor jarak perjalanan kedua-dua pengangkutan berkenaan.

Bagaimanapun, perbezaan berkenaan disifatkan tidak ketara dan tidak membebankan penumpang.

Dalam pada itu katanya, kad Myrapid hanya akan dapat digunakan pada Julai depan dan sistem pembayaran ketika ini menggunakan kad Touch 'n Go dan tunai.

Selain itu, MRT menggalakkan penumpang menggunakan laluan tanpa tunai bagi melancarkan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Fasa pertama laluan MRT Sungai Buloh-Kajang melibatkan sejauh 51 kilometer dan terdiri daripada 31 stesen.

Ketika ini, 12 stesen dari Sungai Buloh- Semantan beroperasi 16 disember lalu, manakala 19 stesen yang menghubungkan Sungai buloh- Kajang dijangka dapat digunakan penumpang julai depan.