Pengguna perlu yakin terhadap status halal produk Cadbury yang sudah berada di pasaran tempatan selama 40 tahun.

Menurut Pengarah Urusan Mondelez Malaysia, Sunil Sethi sebagai pengedar Cadbury di Malaysia, standard kualiti serta status halal produk Cadbury tidak pernah dikompromi oleh syarikat itu.

Ini dibuktikan dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Halal Dalaman, sejak 10 tahun lepas, bagi memastikan setiap bahagian dalam proses pengeluaran mematuhi syariah.

Beliau dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI berkata, fokus Mondelez sekarang ialah untuk meraih keyakinan pengguna terhadap produk Cadbury.

Beliau berkata, syarikat kini tidak berfokus kepada kerugian yang terpaksa ditanggung, sebaliknya menjadikan keyakinan pengguna sebagai keutamaan.

Sunil pada masa sama enggan mengulas dakwaan bahawa wujud unsur sabotaj dalam isu tersebut.

Tambahnya, semua pihak perlu mengambil iktibar supaya isu seperti itu tidak berulang lagi.

Mondelez kini giat menjelaskan status halal Cadbury kepada pengguna, termasuk melalui iklan di akhbar dan televisyen serta media sosial.

Sunil berkata lagi, Mondelez sememangnya prihatin terhadap kualiti serta standard pengeluaran mengikut sensitiviti domestik, termasuk di peringkat pengedaran.

Bagi pengguna yang masih was-was, Sunil menegas, produk ini adalah 100% halal.

Ikuti temubual ekslusif Astro Awani bersama Sunil Sethi secara penuh.