Penggunaan rokok elektronik sebagai percubaan perokok untuk keluar daripada ketagihan rokok tembakau belum terbukti selamat untuk jangkamasa panjang.

Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Beni Isman Rusani berkata, kajian terbaru Universiti of Oregon, Amerika Syarikat membuktikan kewujudan bahan kimia 'formaldehyde' apabila ia digunakan pada voltan yang tinggi.

"Mungkin penggunaan rokok elektronik mampu mengurangkan ketagihan kepada rokok tembakau, tetapi untuk jangkamasa panjang, penggunaan e-rokok ini belum terbukti selamat," katanya semasa dihubungi Astro Awani, di sini hari ini.

Tambahnya, trend rokok elektronik ini juga dikhuatiri menarik perhatian kanak-kanak dan remaja kepada rokok di masa akan datang.

"Jadi, kita perlu berhati-hati pada masa akan datang, 30 atau 40 tahun lagi, kemungkinan rokok elektronik ini boleh membawa kesan buruk seperti kanser.

"Kita tidak mahu galakkan dulu, sebab banyak kajian yang perlu dilakukan memandangkan ia masih di peringkat awal," tambahnya.

BACA: E-rokok di Malaysia, fakta yang perlu anda tahu


Sebelum ini, Pakar Kardiologi dari Greece, Dr Konstantinos Farsalinos mendakwa rokok elektronik merupakan alternatif terbaik kepada rokok tembakau.

Dalam kajian yang dibuat Farsalinos, rokok elektronik 95 hingga 99 peratus lebih selamat biarpun tidak mampu mengubati sepenuhnya ketagihan terhadap rokok tembakau.

Justeru, beliau turut mencadangkan agar peraturan penggunaan rokok elektronik dirangka bagi membolehkan ia dibenarkan penggunaannya di Malaysia.