Peraturan penggunaan produk jenis biodegradasi (boleh urai) bagi menggantikan plastik dan polisterin mendapat respons positif sejak dikuatkuasakan 1 Januari lepas, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Beliau berkata walaupun masih terdapat peniaga dan penjaja yang tidak menggunakan produk jenis biodegradasi namun peraturan itu masih dalam tempoh peralihan sembilan bulan sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

"Rungutan daripada peniaga memang ada tetapi tidaklah begitu kuat. Kita menggunakan formula 3E iaitu mendidik (educate), mendekati masyarakat (engagement) dan menjalankan penguatkuasaan (enforcement).

"Sekarang penguatkuasaan yang dilakukan lebih bersifat teguran bagi mendidik masyarakat. Setakat ini, kementerian berpuas hati," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 Sept 2017.

Loga Bala berkata tindakan proaktif kementerian itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung ancaman polisterin dan plastik terhadap kesihatan, sekali gus menggalakkan pembangunan industri pengeluaran produk biodegradasi.

Pelancaran penggunaan bahan boleh urai itu disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 3 Jun 2016.

Sementara itu, Loga Bala berkata Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan itu diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb ini yang mengekalkan tema tahun lepas, 'Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera'.

Katanya pelbagai acara dirangka sempena sambutan itu antaranya Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka pada 19 Feb, pertandingan catur (11 Feb), Karnival Sukan IPT: Piala Menteri Wilayah Persekutuan (11-12 Feb), KL Fest Supercar and Autoshow (12 Feb), Wilayah International Motofest (24 Feb) dan Labuan Go Green (25 Feb).

Program kerohanian turut diadakan seperti Program Ilmiah Bersama Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Ebit Lew (3 Feb) serta acara mesra rakyat seperti Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA