Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi menyiasat kes jenayah membabitkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah tepat bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terus terpelihara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Khairul Firdaus Akbar berkata LTTE telah lama diklasfikasikan sebagai sebuah pertubuhan pengganas bukan sahaja dalam negara kita, malah di peringkat antarabangsa dan siasatan termasuk pencegahan aktiviti keganasan tidak harus dilengahkan.

"Bersatu Sabah memandang berat dan menzahirkan kebimbangan terhadap sebarang anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Sehubungan itu, sebarang desakan oleh pihak-pihak tertentu kepada PDRM untuk tidak menggunakan SOSMA dalam isu ini adalah tidak boleh diterima, apatah lagi mendesak PDRM untuk mendedahkan hasil siasatan terhadap suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Firdaus berkata Bersatu Sabah mengucap tahniah kepada PDRM atas usaha dan tindakan pre emptif dalam memastikan negara terus aman dan damai.

"Sebagai rakyat kelahiran Sabah, peristiwa hitam pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu (Februari 2013) telah mengajar kita betapa pentingnya tindakan pencegahan yang segera terhadap sebarang aktiviti keganasan dan pertubuhan pengganas.

"Kita tidak mahu sejarah perit yang melanda Sabah suatu ketika dahulu berulang kembali akibat daripada kegagalan yang mungkin berlaku sekiranya penggunaan SOSMA tidak diteruskan," katanya.

Sejak 10 Okt lepas, polis menahan 12 individu di bawah SOSMA disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

-- BERNAMA