Tutup

Penghantar surat didakwa terbabit kumpulan pengganas LTTE

Penghantar surat didakwa terbabit kumpulan pengganas LTTE
Seorang penghantar surat S.Teran, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE, awal bulan ini. - Foto BERNAMA
SEGAMAT: Seorang penghantar surat didakwa di Mahkamah Sesyen Segamat, Johor atas pertuduhan berkait kumpulan pengganas pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), 10 Oktober lalu.

Tertuduh, S. Teran, 38, didakwa memiliki barangan yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas tersebut.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Rasidah Roslee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan tersebut di Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai, Segamat kira-kira 6.30 petang, pada tarikh berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan dilucutkan hak mana-mana barang tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara Putrajaya, Low Qin Hui manakala, tertuduh diwakili peguam bela, A. Mathan.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Tertuduh juga dibawa ke Penjara Sungai Buloh atas pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, Khamis ini.

Mahkamah menetapkan 18 November untuk sebutan semula kes.


Tag: Mahkamah Sesyen, pengganas, keganasan, Peguam Negara, Harimau Tamil Eela, LTTE, S Teran



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.