Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bersetuju dengan syarat-syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan dalam usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata batu penghalang terbesar dalam perbincangan antara Dong Zong dan kementerian sebelum ini ialah penggunaan Bahasa Melayu berselaraskan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Sebelum ini, pihak Dong Zong mahu Kementerian Pendidikan mengiktiraf Bahasa Melayu UEC, kerana sistem UEC turut ada Bahasa Melayu.

"Kita tidak boleh terima itu tetapi kepimpinan Dong Zong yang baru ini boleh menerima syarat-syarat yang ditetapkan kementerian iaitu mereka perlu mengambil Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, ia satu langkah yang amat baik dan kita boleh membincangkannya secara lanjut," katanya di Hari Ini 8.

Chong mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata kerajaan akan mengkaji cadangan mengiktiraf UEC di peringkat kebangsaan.

Kata Zahid, Menteri Pendidikan telah diarahkan agar meneliti perkara itu sebelum mengemukakan saranan kepada kerajaan.

"Sekarang cadangannya ialah supaya UEC diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan mereka yang ingin masuk ke universiti perlu memenuhi syarat-syarat universiti awam," kata Chong.

UEC adalah ujian standard bagi pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mengiktikraf sijil UEC ketika ini.

Tambah Chong, isu teknikal berkaitan pengiktirafan UEC telah dibincangkan dan kini cuma menunggu keputusan pihak tertinggi, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kabinet.

Beliau turut menjelaskan pengiktirafan terhadap UEC tidak akan memberi impak kepada sistem pendidikan negara yang sedia ada.

"Saya perlu jelaskan di sini, kebanyakan pelajar di sekolah-sekolah menengah persendirian kini mengambil SPM dan UEC. Jadi mereka sebenarnya mempunyai kelayakan SPM."

"Sekiranya universiti-universiti di luar negara sudah boleh mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti mereka, maka tibalah masanya kita boleh melihat semula syarat dan kelayakan mereka supaya boleh diterima masuk ke universiti awam Malaysia dengan syarat mempunyai SPM Bahasa Melayu," kata Chong.