Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan menjaga beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Dalam kiriman di Facebook beliau, beberapa keeping gambar dilampirkan menunjukan beliau memberikan tabik hormat kepada pasukan tersebut.

“Tidak dinafikan mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan,” kata Najib.

Najib berkata kerajaan menarik kesemua pegawai keselamatan dan polis namun meninggalkan seorang pegawai pengiring.

“Saya sekeluarga tidak akan melupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang 9 tahun ini, termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami sejak 14 tahun semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri," katanya.



Najib pada masa sama berharap pasukan itu akan terus berdedikasi dan setia dengan kerajaan baharu.

“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan," katanya.