Tutup

Pengisytiharan harta Ahli Parlimen bukan untuk SPRM buka kertas siasatan

Pengisytiharan harta Ahli Parlimen bukan untuk SPRM buka kertas siasatan
Menurut Azam Baki, pengisytiharan harta dilaksanakan untuk membuktikan ketelusan dan integriti Ahli Parlimen yang seringkali menjadi pertikaian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen tidak akan menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka sebarang kertas siasatan ke atas mereka.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, proses itu dilaksanakan untuk membuktikan ketelusan dan integriti Ahli Parlimen yang seringkali menjadi pertikaian.
“SPRM sekadar menyediakan platform untuk Ahli Parlimen dan pihak pentadbiran mengisytiharkan harta, kenapa sesetengah pihak tidak mahu lakukannya mungkin ada agenda mereka tersendiri atau perkara tersirat.

“SPRM memang sarankan dan perkara ini amat baik kerana rakyat mahukan ketelusan, kalau kita lihat satu daripada isu yang sering diperkatakan ketika dan selepas pilihan raya yang mana kerajaan sekarang pun mula dipertikaikan adalah isu tentang integriti.
“Kami bukannya mengatakan dengan mendapat data-data ini maka menjadi asas pula kepada kami untuk menjalankan siasatan, bukan begitu maksudnya,” katanya kepada Astro AWANI ketika temubual dalam program Awani Pagi, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihak pembangkang mungkin mengambil sedikit masa untuk bersama kerajaan dalam mengisytiharkan harta.

“Platform yang kita paparkan tidak melihatkan semua, mereka kena isytiharkan suami, isteri termasuk anak-anak yang memegang amanah tapi yang dipaparkan hanyalah dari segi pendapatan dan jumlah harta sahaja, yang lain kita tidak masukkan secara terperinci kerana itu data peribadi,” jelas beliau.

Pada 5 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, seramai 62 Ahli Parlimen pembangkang termasuk bebas masih belum mengisytiharkan harta biarpun hari tersebut adalah hari terakhir untuk mereka melaksanakannya.

Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta adalah 36 daripada UMNO, MCA (1), MIC (1), PAS (18), GPS (3), STAR (1) dan dua bebas.

Seramai 160 Ahli Parlimen telah mengistiharkan harta mereka iaitu semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) termasuk dua wakil rakyat UMNO, MCA (1), GPS (15), PSB (1), PBRS (1) dan PBS (1)

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka, isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun.


Tag: Ahli Parlimen, Pengisytiharan harta, SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketelusan, integriti, Awani Pagi, pembangkang, suami, isteri, amanah, data peribadi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.