Tutup

Penguasaan Bahasa Inggeris penting untuk ekonomi pengetahuan

Penguasaan Bahasa Inggeris penting untuk ekonomi pengetahuan
FMM sentiasa menekankan bahawa Bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan lagi dalam sistem pendidikan kerana ia adalah bahasa matematik, sains, kejuruteraan, ICT serta perubatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penguasaan Bahasa Inggeris adalah perlu bagi menarik pelaburan dengan nilai tambah yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan negara bergerak pantas ke arah mencapai ekonomi pengetahuan dengan pendapatan yang lebih baik, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Datuk Soh Thian Lai dalam satu kenyataan berkata persekutuan itu mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kepentingan Bahasa Inggeris dalam menimba ilmu.
"FMM ingin menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris adalah kunci dalam mewujudkan kumpulan kapasiti dan keupayaan domestik.

"Adalah penting untuk kerajaan terus menekankan dan melaksanakan kadar penyerapan Bahasa Inggeris yang lebih tinggi kerana kajian membuktikan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris terbaik diperolehi dalam persekitaran penyerapan 50 hingga 60 peratus," katanya.
Menurut beliau lagi, FMM sentiasa menekankan bahawa Bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan lagi dalam sistem pendidikan kerana ia adalah bahasa matematik, sains, kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perubatan.

"Mata pelajaran teras ini akan memudahkan pemerolehan pengetahuan saintifik serta teknologi yang akan menggerakkan penyelidikan dan pembangunan, peningkatan inovasi termasuk aktiviti berasaskan pengetahuan ICT yang bakal menyumbang kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi di semua sektor ekonomi," katanya.

-- BERNAMA










Tag: FMM, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Bahasa Inggeris, pelaburan, nilai tambah, ekonomi pengetahuan, pendapatan, Soh Thian Lai, Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, ICT



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.