Terdapat anggota dan pegawai agensi penguat kuasa yang dikesan bersekongkol dengan 10 dalang sindiket penyeludupan manusia yang dikenal pasti di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengenal pasti 20 sindiket penyeludupan manusia termasuk dalang membabitkan warga tempatan dan Indonesia.

"Dalang yang dikenal pasti itu ada kedudukan dan bersekongkol bukan saja dengan orang awam, malah ada juga dalam kalangan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.

"Jangan terkejut kalau ada tangkapan dibuat dalam masa terdekat, kita tidak akan bertolak ansur terhadap pengkhianatan kepada negara," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Semua sindiket dan dalang berkenaan dikesan sejak Operasi Pintas Bersepadu Selatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dimulakan minggu lalu.

Jelas Ayob Khan, kemasukan warga asing melalui jalan tikus dijangka akan meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir berikutan keadaan wabak di negara jiran, Indonesia yang semakin serius di samping faktor geografi Johor.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai khususnya pemilik kediaman, pemilik tanah dan pemandu teksi untuk tidak bersekongkol dengan menyediakan penginapan dan pengangkutan kepada sindiket terbabit.

Setakat ini seramai 20 tekong dan 24 migran ditahan menerusi sembilan serbuan yang dijalankan antara 22 April hingga Isnin lalu.