Kerajaan akan memperkasakan penguatkuasaan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi , Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, perkara itu bagaimanapun memerlukan sedikit masa dalam memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan.

Namun ketika ini, banyak pesalah alam sekitar termasuk kilang-kilang terlibat telah dikompaun dan dibawa ke muka pengadilan.

“Memang kita ada akta dan penguatkuasaan akta ini memang perlu ditingkatkan lagi. Contoh tahun lepas kita kompaun dan saman lebih kurang 5 juta (ringgit) sahaja untuk semua langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Oleh itu tahun ini, kita akan letakkan seratus peratus penguatkuasaan JAS untuk mereka yang melanggar akta. Contoh kilang plastik sahaja, 150 telah ditutup. Hari ini banyak penguatkuasaan dibuat oleh JAS. Pemerkasaan JAS memerlukan sedikit masa lagi supaya kita boleh menguatkan jentera penguatkuasaan alam sekitar dan kukuhkan proses kita supaya kita boleh dakwa pencemar alam sekitar di mahkamah,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff di dewan rakyat.

Dalam pada itu mengenai pemeliharaan tapak Ramsar, Bee Yin berkata, kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tidak akan dipertimbangkan pada masa akan datang.

“Kita telah memutuskan bahawa kelulusan EIA tidak akan dipertimbangkan lagi pada masa depan untuk kesemua Tapak Ramsar di Malaysia termasuk Sg Pulai. Tapak Ramsar adalah wetland yang diakui mempunyai kepentingan antarabangsa di Konvensyen Ramsar. Ini adalah Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala yang ditubuhkan pada 1971 UNESCO dan dikuatkuasa 1975. Terdapat enam tapak Ramsar di Malaysia,” ujarnya.