Tutup

Penguatkuasaan lebih bersepadu oleh polis, JPJ kekang kemalangan basikal lajak

Penguatkuasaan lebih bersepadu oleh polis, JPJ kekang kemalangan basikal lajak
Semua pihak bertanggungjawab dalam menangani isu basikal lajak, di mana ibu bapa terutamanya hendaklah sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan efisien oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah penting dalam mengekang kemalangan jalan raya melibatkan kanak-kanak yang menggunakan basikal lajak yang sehingga kini telah meragut beberapa nyawa kanak-kanak terlibat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penguatkuasaan penting bagi memastikan penggunaan basikal lajak itu tidak dilakukan di kawasan yang sesak dengan lalu lintas.
"Selain itu, saya berpendapat bahawa semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam menangani isu ini, di mana ibu bapa terutamanya hendaklah sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing.

"Dari segi undang-undang, memang tiada peraturan untuk menghukum ibu bapa yang tidak memantau aktiviti anak-anak mereka... kita belum sampai ke tahap itu.
"Meskipun tiada undang-undang sedemikian tetapi ia merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga dan memantau anak-anak mereka," katanya kepada pemberita pada seminar 'Keselamatan Jalan Raya Asia Pasifik 2019' di sini pada Selasa.

Loke berkata demikian mengulas video yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak di jalan raya.

Perbuatan yang dipercayai berlaku di Ampang itu dirakam oleh pemandu teksi yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

BACA: Padah beraksi ala Superman, geng basikal lajak Kajang ditahan

BACA: Nahas 8 remaja berbasikal: Jurujual dibebas, dilepas tuduhan memandu melulu

Sementara itu, Loke berkata kerajaan juga bercadang mewujudkan lebih banyak laluan khas khusus untuk motosikal pada masa akan datang serta mempertingkatkan reka bentuknya bagi memastikan keselamatan penunggang motosikal.

"Kerajaan akan berbincang dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dan JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) kerana ia melibatkan dua jabatan ini terutama dalam isu penyelenggaraan selain ingin mendapatkan pandangan mengenai strategi terbaik yang boleh dilakukan dalam usaha mewujudkan laluan khas motosikal," katanya.

BACA: JKJR berhasrat tingkatkan kualiti laluan khas motosikal

BACA: Miros cadang laluan khas untuk motosikal 

Loke berkata pembinaan laluan motosikal itu juga adalah antara perkara yang akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan pakar-pakar keselamatan jalan raya bagi membincangkan langkah-langkah innovatif menangani kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa masyarakat global melibatkan umur lima hingga 29 tahun.

-- BERNAMA