Seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pengundi berkenaan, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58 tahun, yang diwakili firmanya, Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co itu turut menamakan SPR dan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Jelasnya, ia menuntut pelbagai deklarasi, antaranya pengisytiharan bahawa suruhanjaya itu tidak wujud dari segi undang-undang.

"Saman ini baru diabstrak oleh mahkamah melalui sistem e-filing, jadi kita belum dapat tarikh pendengarannya.

"Kita memfailkan tiga dokumen, yang pertama saman pemula, kemudian efidavit sokongan dan satu lagi perakuan segera.

"Jadi sebaik sahaja kita sahkan dapat kesemua ini sebab PRK Semenyih ini penamaan calonya akan diadakan pada 16 Februari ini. Jadi kita perlu mahkamah ini segera menetapkan tarikh bicara, kami bersedia, esok atau lusa, seawal-awalnya lusa untuk mendengar permohonan ini, perbicaraan ini supaya mahkamah dapat membuat keputusan sebelum 16 Februari," katanya semasa sidang media selepas memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin.

Jelas Khairul Azam, Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR mestilah terdiri daripada gabungan seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima orang ahli yang kesemuanya di lantik oleh Yang Di Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

"Setakat 18 Januari, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tidak ada membuat lantikan Timbalan Pengerusi dan lima ahli lain.

"Plaintif percaya di sebabkan SPR tidak lagi wujud selepas 1 Januari 2019, maka Pengerusi SPR seorang diri tidak boleh kendalikan,diagihkan atau laksanakan apa-apa mesyuarat atau membuat apa-apa keputusan untuk mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N24 Semenyih.

"SPR tidak wujud secara sah mengikut Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, tiada sebarang PRK DUN N24 Semenyih boleh dibuat. Bahawa apa kenyataan SPR bermula dari 1 Januari 2019 adalah tidak sah dan batal mengikut undang-undang," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sudah memfailkan perakuan segera untuk memastikan supaya hujahan pihak-pihak boleh didengar dengan secepat mungkin.

Pada 21 September lalu, Azhar, dilantik menjadi Pengerusi SPR, selepas bekas Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Julai.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, Azhar mengumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa pada 1 Januari 2019, selaras dengan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Turut memendekkan tempoh perkhidmatan ialah empat Ahli SPR iaitu Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.

Azhar berkata, keputusan pemendekan tempoh perkhidmatan itu dicapai dan dipersetujui oleh mereka pada satu perbincangan yang diadakan pada 15 Oktober lalu, iaitu sebelum berita mengenai penubuhan tribunal khas disiarkan oleh media pada 17 Oktober lalu.

Pada 13 Januari lalu, Azhar dilaporkan berkata kekosongan jawatan Ahli SPR ketika ini tidak mengganggu atau menjejaskan fungsinya, serta tidak akan mewujudkan masalah kepada suruhanjaya itu untuk menguruskan PRK Semenyih.

Pada masa sama, Azhar berkata beliau kurang pasti mengenai status pelantikan ahli baharu SPR kerana ia tidak termasuk dalam bidang kuasanya.

PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan. Hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari ini.