Berkuat kuasa pukul 9 pagi, 27 Mac ini, orang ramai yang berhasrat memasuki Singapura diwajibkan terlebih dahulu menghantar deklarasi kesihatan mereka kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menerusi perkhidmatan SG Arrival Card, e-Service, sebelum tiba.

Pada masa yang sama, Singapura akan menghentikan penggunaan kad pelepasan/ketibaan berasaskan kertas, yang biasa dikenali sebagai kad putih.

"Mereka perlu berbuat demikian dengan menggunakan 'SG Arrival Card (SGAC) e-Service'," menurut ICA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Keperluan menghantar deklarasi kesihatan itu turut diwajibkan ke atas rakyat Singapura, pemastautin tetap, pemegang pas lawatan tempoh panjang, yang termasuk pemegang pas pelajar, pas tanggungan, pas kerja dan pas lawatan tempoh panjang.

"Kewajipan terbaharu ini penting sebagai langkah berwaspada tambahan bagi mengekang risiko kemasukan COVID-19 ke dalam Singapura, dan ia akan tertakluk kepada semakan selanjutnya terhadap keadaan COVID-9 global," menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan SGAC e-Service boleh didapati di laman web ICA https://eservices.ica.gov.sg/sgarrivalcard dan aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma daripada Apple AppStore dan Google Play.

-- BERNAMA