Pengurangan waktu bekerja dalam sehari tidak menjamin peningkatan produktiviti, dan terdapat faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi produktiviti pekerja.

Pensyarah Kanan Bidang Psikologi Industri dan Organisasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fatimah Wati Halim berpendapat, produktiviti di tempat kerja tidak bergantung kepada masa atau jam bekerja yang diperuntukkan, tetapi ia lebih diukur melalui kecekapan seseorang itu bekerja, sejauh mana cara kerjanya berkesan dan sikap positif yang diambil terhadap sesuatu kerja.

Tambah beliau, seseorang pekerja harus bijak dalam mengurus masanya bagi memastikan mereka dapat mencapai keseimbangan antara diri, keluarga dan juga kerjanya.

"Jika bijak mengurus masa, sudah pasti pekerja tersebut dapat mencapai keseimbangan antara kehidupan dan kerjanya," kata Dr Fatimah Wati.

Apabila diminta untuk mengulas kajian yang dilakukan di negara Eropah seperti Sweden yang menunjukkan peningkatan produktiviti yang signifikan selepas dikurangkan masa bekerja seharian, Dr Fatimah Wati berkata sistem bekerja di sana amat berbeza jika dibandingkan dengan di Malaysia.

Jelas beliau, bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia, sudah menjadi keperluan bagi pekerja untuk meluangkan masa yang lebih untuk bekerja bagi mereka yang sudah berada di negara maju.

Namun, Dr Fatimah Wati menekankan kepentingan pengamalan fleksibiliti dari segi waktu bekerja yang harus dipersetujui di antara pekerja dan majikan.

"Contohnya, jika kita dikehendaki menyumbang sebanyak 40 jam seminggu kepada organisasi, kita dahulukan mana yang penting pada hari-hari tertentu, misalnya hal-hal kecemasan melibatkan keluarga dan menebus balik waktu yang tertinggal pada hari-hari yang lain," kata Dr Fatimah Wati.

Baginya, perkara ini yang wajar diberi perhatian kerajaan dan majikan dalam hal-hal berkaitan produktiviti pekerja.

Pandangan sama turut disuarakan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam hal ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata jika undang-undang dapat dinilai semula pihak kerajaan, sudah pasti majikan dan pekerja dapat berunding untuk mewujudkan situasi menang-menang.

Beliau mengambil contoh situasi di mana pekerja yang bersetuju untuk bekerja selama 12 jam sehari hanya perlu bekerja selama empat hari seminggu.

"Semuanya boleh dicapai sekiranya fleksibiliti ini dapat diwujudkan di mana buat masa ini ia tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan undang-undang," jelas Shamsuddin.

Beliau juga menyentuh soal peningkatan kos yang terpaksa dipikul majikan sekiranya bilangan jam bekerja dalam sehari dikurangkan.

"Kita harus ingat bahawa jika bilangan jam bekerja dikurangkan, misalnya kepada enam jam sehari, namun, gaji bulanan tetap sama.

"Ini akan mengakibatkan peningkatan kos kepada pihak majikan," kata Shamsuddin.

Jelasnya, pengurangan waktu bekerja boleh dilakukan apabila golongan pekerja di Malaysia telah mencapai satu tahap produktiviti yang tinggi.

"MEF tidak menolak cadangan ini secara sepenuhnya. Ia boleh dilaksanakan tetapi bukan pada masa ini," kata Shamsuddin.