UMUM mengambil maklum bahawa pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak menjual syarikat berkaitan kerajaan iaitu Plus Malaysia Bhd (PLUS) kepada pihak swasta.

Sebaliknya, perjanjian konsesi lebuh raya PLUS telah dilanjutkan selama 38 tahun dari 2020 sehingga 2058. PLUS juga perlu menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi pengguna kenderaan persendirian bermula seawal Februari 2020.

Umum mengetahui bahawa jajaran lebuh raya PLUS mendominasi keseluruhan lebuh raya di Malaysia.

Umum juga mengetahui bahawa rakyat memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan bulanan mereka ke atas kos pengangkutan. Tambahan lagi, kadar tol turut mempengaruhi kos pengangkutan barangan dan perkhidmatan.

Justeru itu, adakah pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus ini memberi impak yang signifikan dalam mengurangkan kos perbelanjaan rakyat?

Salah satu pendekatan untuk menjawab soalan ini ialah dengan mengira impak ke atas kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Jika kos pengeluaran dapat dijimatkan dengan kadar yang besar, maka pengurangan kadar tol ini berpotensi menurunkan harga barangan dan perkhidmatan.

Penulis telah mengira impak pengurangan 18 peratus kadar tol ke atas kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Impak dikira dengan hanya mengambil kira kesan pengurangan kadar tol sahaja manakala faktor-faktor lain diandaikan tidak berubah.

Hasil dapatan diringkaskan seperti gambarajah di bawah. Analisis menunjukkan kos pengeluaran keseluruhan ekonomi hanya berkurangan sebanyak 0.09 peratus sahaja. Daripada jumlah pengurangan tersebut, kos pengeluaran pemprosesan makanan dan minuman hanya berkurangan sebanyak 0.002 peratus sahaja.



Jelasnya, pengurangan kadar tol ini lebih memberi impak kepada kos ulang alik rakyat yang menggunakan lebuh raya.

Ia tidak memberi kesan yang signifikan kepada kos perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan di dalam ekonomi. Ringkasnya, pengurangan kadar tol ini hanya memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya sahaja dan tidak kepada rakyat keseluruhannya terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar.



* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands dan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM, juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.