Seorang pengurus projek sebuah agensi kerajaan di Melaka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan bernilai RM2.54 juta, hari ini.

Suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada jam 3 petang di pejabatnya di Melaka kerana melakukan kesalahan itu sejak awal tahun lalu.

Menurut sumber, suspek telah membuat sebanyak 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta melibatkan 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan.

"Baja-baja itu sepatutnya dituntut oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkenaan bagi pihak petani di sektor penanaman padi yang menyertai skim tersebut serta diagihkan kepada mereka.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai telah menjual semula baja-baja tersebut bagi mendapatkan keuntungan peribadi," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Sumber berkata, daripada jumlah tuntutan tersebut, kerajaan telah membayar sebanyak kira-kira RM1.33 juta manakala selebihnya belum dibayar namun baja-baja terbabit telah dibekalkan serta diterima oleh suspek sendiri.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan tersebut dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.