Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung pengurusan jasad warga Korea Utara, Kim Jong Nam.

Sebaliknya, beliau hanya meminta wakil media untuk bersabar dimana katanya Kerajaan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya dalam masa terdekat.

“Saya minta semua pihak sabar sikit sahaja. Itu sahaja saya minta.

“Terima kasih,” jawabnya ringkas kepada pemberita selepas mengadakan sidang media di Parlimen hari ini.

Apabila ditanya bilakah pengesahan mengenai perkara itu akan diumumkan, Reezal menjawab: "Macam saya kata tadi, sabar sikit sahaja lagi.

"Pernahkah saya menyembunyikan fakta penting kepada media sebelum ini? Saya minta semua sila sabar sikit sahaja lagi,” tegasnya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan mayat Jong Nam telah dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Nasional (IPFN) dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih dan diiringi beberapa kenderaan polis.

Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas oleh dua wanita menggunakan agen saraf VX yang sangat bertoksik.

Sejak kejadian itu, hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia terjejas berikutan kenyataan yang diberikan bekas Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol.

Pada 4 Mac lepas, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai 'Persona Non Grata' selepas beliau gagal hadir apabila dipanggil oleh Wisma Putra. Beliau meninggalkan Malaysia pada 6 Mac.