Selepas COVID-19 mula dikesan di China pada akhir 2019, virus kejam itu bukan sahaja menjadi pandemik apabila dijangkiti berjuta-juta orang dan meragut lebih 360,000 nyawa sehingga kini di seluruh dunia, malah mencetuskan impak buruk sosio-ekonomi secara global.

Pada 25 Jan, 2020, Malaysia melaporkan tiga kes positif COVID-19. Empat bulan kemudian, virus itu menjangkiti 7,629 orang di negara ini dan meragut 115 nyawa.

Susulan sifat virus itu yang amat memudaratkan, langkah menguruskan sisa klinikal COVID-19 telah menjadi keutamaan bagi syarikat yang bertanggungjawab melupuskan buangan klinikal ini.

Sisa klinikal pada April

Unit perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan (HSS) milik penuh UEM Edgenta Bhd, Edgenta Mediserve Sdn Bhd (EMSB), menjadi antara syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menguruskan sisa klinikal dari kemudahan perubatan awam.

Menurut UEM Edgenta, sisa klinikal COVID-19 meliputi 27.8 peratus daripada jumlah sisa klinikal keseluruhan yang dikumpulkan oleh EMSB pada April.

Mengikut perjanjian konsesi semasa, EMSB menguruskan sisa klinikal dari 33 hospital kerajaan serta sembilan klinik kesihatan di wilayah utara Semenanjung Malaysia selain 12 hospital swasta, 694 klinik swasta dan 83 klinik di bawah Kementerian Pertahanan di seluruh negara.

Sementara itu, Cenviro Sdn Bhd berkata unit pengurusan sisa di bawahnya, Kualiti Alam Sdn Bhd melaporkan sisa klinikal COVID-19 yang dikumpulkan dari kemudahan penjagaan kesihatan swasta meningkat dari segi jumlah.

"Sisa klinikal COVID-19 sangat besar, tetapi dikategorikan sebagai sisa bahan ringan.

"Oleh itu, walaupun terdapat peningkatan dari segi jumlahnya, Kualiti Alam menguruskan jisim yang ringan," kata Pengarah Urusan Cenviro, Dr Johari Jalil.

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan untuk 4,035 kemudahan penjagaan kesihatan swasta di seluruh negara.

Tiada penyimpanan, tiada pengendalian dua kali

UEM Edgenta berkata sisa klinikal COVID-19 diklasifikasikan sebagai sisa berjangkit -- disyaki mengandungi patogen (bakteria, virus, parasit, atau kulat yang mendatangkan penyakit) dalam kepekatan atau kuantiti yang mencukupi sehingga menyebabkan penyakit pada perumah/hos yang mudah dijangkiti.

Sisa klinikal merupakan apa juga sisa yang mengandungi sepenuhnya atau sebahagian tisu manusia; darah atau cecair badan; rembesan; ubat terpakai; swab; pembalut; picagari; jarum atau instrumen lain -- sisa yang mungkin mendatangkan bahaya kecuali disahkan selamat.

"Oleh itu, sisa klinikal COVID-19 dikendalikan sebagai keutamaan paling tinggi dari segi sisa yang akan diuruskan, yang bermaksud sampah itu tidak disimpan atau dikendalikan secara dua kali," menurut UEM Edgenta.

Senada dengan UEM Edgenta, Johari berkata amat penting untuk kemudahan perubatan memastikan bahawa sisa berkaitan dengan COVID-19 dilabel, dibungkus dan ditutup dengan betul.

SOP pengurusan sisa klinikal diperketat

Berlandaskan lebih 20 tahun pengalaman dalam perniagaan sisa klinikal, EMSB kini memanfatkan pengetahuan teknologi dan amalan terbaik untuk mengendalikan sisa COVID-19.

"Kami juga telah memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) semasa kami yang berkaitan dengan pengurusan sisa klinikal," katanya.

Antara lain, pasukan HSS di bawah EMSB mesti memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sepenuhnya, seperti penutup hidung dan mulut, pelindung muka, apron dan sarung tangan semasa mengendalikan sisa COVID-19 berdasarkan SOP dan garis panduan KKM.

"Sisa COVID-19 dikumpulkan menggunakan tong beroda khusus dilabelkan dengan 'pesakit di bawah pemantauan (PUI) COVID-19'.

"Selain itu, semua tempat disediakan dengan tong beroda tambahan dan dilabelkan 'belum dikumpulkan," kata UEM Edgenta.

Semua lori EMSB turut dilengkapkan dengan pengesan Sistem Penentududukan Global (GPS) dan kit pengurusan tumpahan sekiranya berlaku kecemasan.

"Prosedur seperti pengumpulan, pengangkutan dan penerimaan sisa di kemudahan rawatan sentiasa dinilai semula dan diperbaiki, berdasarkan amalan terbaik serta rundingan dengan KKM," katanya.

Johari berkata sisa yang diterima di kemudahan rawatan Kualiti Alam akan dilupuskan dengan cara penunuan, selain pengendalian minimum oleh pasukan operasi.

"Kami juga melupuskan PPE yang tercemar yang dihantar ke kemudahan kami.

"Memandangkan wujudnya potensi risiko yang berkaitan dengan pengendalian sisa klinikal secara tidak teratur, pasukan khas ini mesti mematuhi SOP yang ketat dan keperluan undang-undang mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dalam mengendalikan serta melupuskan sisa bio berbahaya," katanya.

-- BERNAMA