Tutup

Pengusaha makanan di Labuan perlu pastikan pekerja ambil suntikan kepialu

Pengusaha makanan di Labuan perlu pastikan pekerja ambil suntikan kepialu
Suntikan kepialu diwajibkan kepada semua pengendali Makanan dan Minuman (F&B) mengikut Akta Makanan Malaysia 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. -Foto hiasan
LABUAN: Jabatan Kesihatan di sini mengeluarkan notis peringatan kepada pengusaha makanan berhubung suntikan kepialu bagi pekerja mereka sejak berlakunya penularan penyakit itu pada Ogos.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali berkata tempoh tertentu diberikan kepada majikan untuk memastikan pekerja mereka mendapatkan suntikan kepialu atau tifoid.
"Selepas dua minggu dilakukan pemeriksaan ke atas 65 peratus kedai makan di sini, kami mendapati tidak semua pekerja telah mengambil suntikan dan ini menimbulkan kebimbangan," katanya kepada Bernama Isnin.

Beliau berkata Labuan merekodkan dua kes kepialu pada tahun ini.
"Pengguna kini meletakkan jangkaan tinggi terhadap kebersihan bekalan makanan. Bagi pencegahan efektif, langkah betul perlu diambil pada setiap peringkat pengeluaran dan proses penyediaan makanan," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap baki premis dan pemeriksaan susulan akan juga dilakukan untuk memastikan pengusaha makanan mematuhi notis itu.

Suntikan kepialu diwajibkan kepada semua pengendali Makanan dan Minuman (F&B) mengikut Akta Makanan Malaysia 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Demam kepialu merupakan penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang mencemari makanan dan minuman. Antara simptomnya adalah demam, keletihan, cirit-birit, muntah, sakit perut, sembelit dan sakit kepala dan kadang kala ruam.

"Sesetengah orang yang mengalami demam kepialu boleh menjadi "pembawa", yang menyebarkan penyakit itu kepada orang lain dan umumnya orang mendapat penyakit itu daripada makanan atau minuman yang tercemar.

"Oleh itu, amat penting untuk memastikan orang yang mengendalikan makanan bukan pembawa," kata Dr Ismail.

Kementerian Kesihatan melaporkan 52 kes demam kepialu di Malaysia setakat Sabtu iaitu 37 kes di Kuala Lumpur dan 15 di Selangor, sejak berlakunya penularan penyakit itu.