Kebanyakan pengusaha pondok pengajian agama dan pusat tahfiz persendirian di Kelantan tidak mengambil berat aspek keselamatan pencegahan kebakaran di premis mereka.

Mendedahkan perkara ini, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Anwar Abu Bakar, berkata sikap sambil lewa yang mengabaikan keselamatan kebakaran ini berpunca dari masalah kewangan yang terhad.

Katanya, pengusaha pondok pengajian agama dan pusat tahfiz dilihat tidak mampu menyediakan infrastruktur yang baik termasuk dari segi kemudahan seperti pili bomba, alat pemadam kebakaran dan pendawaian.

"Dari segi ciri ciri perlindungan, tidak diambil serius oleh mudir dan warden sekolah.

"Dari senarai kita, ada lebih 50 sekolah pondok yang tidak dapat melakukan kawalan dengan sepenuhnya," kata Anwar sambil menambah, pihaknya membantu dengan memberi nasihat dan menubuhkan skuad bomba pondok.

Dianggarkan, terdapat lebih 100 buah pondok pengajian agama dan kitab yang dijalankan secara persendirian di negeri ini.

Anwar berkata, JBPM Kelantan sentiasa melakukan pemantauan dan pertemuan dengan pengusaha pondok pengajian agama di negeri ini, namun tindakan ke arah membaiki kelemahan yang ada itu masih tidak memuaskan.

Semalam, JBPM Kelantan mengesan 17 sekolah pondok di negeri ini beroperasi tanpa permit daripada jabatan tersebut.

Sekolah berkenaan yang terletak di beberapa daerah didapati berisiko tinggi sekiranya berlaku kebakaran berikutan ciri-ciri keselamatan bangunan didapati kurang memuaskan.

Berdasarkan rekod terdahulu, kebanyakan kes sekolah pondok terbakar adalah disebabkan litar pintas, kelalaian menggunakan dapur memasak dan ubat nyamuk.