Seorang pengusaha tadika swasta didenda RM4,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan dua ekor anjing jantan baka Rottweiler dan baka campuran.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor juga memerintahkan Zarina Laura Abdullah, 53, membayar segala kos rawatan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur terhadap dua ekor anjing itu sepanjang tempoh ia berada dalam jagaan jabatan berkenaan.

Zarina Laura dituduh melakukan kesalahan itu di nombor 27, Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang pada 12.30 tengah hari, 16 Feb lepas, mengikut Seksyen 44 (91)(d) Akta Binatang (pindaan) 2013 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sepasukan penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah membuat pemeriksaan di kediaman Zarina Laura, mendapati terdapat dua ekor anjing dalam keadaan terabai dan tidak terurus serta seekor darinya mengalami luka.

Ketika pemeriksaan, pemilik tiada di rumah dan hasil siasatan mendapati dua ekor anjing itu telah ditinggalkan di kediaman itu kira-kira lima bulan tanpa penjagaan sesuai sehingga seekor darinya sakit dan luka.

Zarina Laura yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah untuk meringankan hukuman denda kerana mendakwa beliau telah menjaga kedua-dua ekor anjing itu dengan baik sehinggalah berpindah ke kediaman lain sejak 2014.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa terdapat seorang penjaga yang menguruskan makan dan minum kedua-dua ekor anjing itu sekiranya dia tidak berkesempatan untuk pulang ke kediamannya itu.

"Jika Rocco (Rottweiler) dan Quadro (baka campuran) sakit akan ada doktor veterinar yang merawatnya, saya ambil anjing ini untuk menjaga kediaman saya kerana kawasan kejiranan di situ sering berlaku rompakan," katanya.

Sementara itu Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Hasiah Musa memohon mahkamah memgenakan hukuman berat kerana sebagai pemilik, dia sepatutnya sentiasa memastikan anjing peliharaannya berada dalam keadaan baik.

"Bukan semata-mata memberi makan tetapi perlu pastikan kesihatan dan keselesaan persekitaran anjing itu juga," katanya.