Sebahagian daripada kira-kira 124 peniaga Bazar Melayu Moden di Jalan Masjid India di sini memohon pihak berkuasa tempatan memindahkan bazar itu ke lokasi strategik bagi memastikan pendapatan mereka tidak terjejas.

Ia susulan permohonan peniaga Wisma Yakin kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur agar memindah atau menempatkan semula bazar itu ke kawasan lain selepas mereka mendakwa bazar itu menghalang laluan masuk ke wisma tersebut.

Peniaga aksesori gajet Rosli Md Lin, 53, memohon agar DBKL tidak membelakangkan kebajikan para peniaga yang telah berniaga hampir 20 tahun di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau kesal dengan situasi kini yang tiada status jelas mengenai kedudukan mereka sebagai peniaga di kawasan itu.

"Ini sahaja mata pencarian kami setelah beberapa puluh tahun meniaga di sini, dengan keadaan ekonomi yang begini keadaan ini memberi tekanan kepada kami.

"Saya minta jasa baik pihak yang terlibat supaya ambil berat dan tempatkan kami di lokasi strategik untuk meneruskan perniagaan...antara kawasan dilihat sesuai dan strategik adalah laluan antara Semua House ke Mydin (sekitar Jalan Bunus 6)," kata Rosli kepada Bernama di sini.

Bagi peniaga kasut di bazar itu Mek Zainab Man, 49, berkata setakat ini belum ada notis rasmi daripada DBKL namun pihaknya difahamkan bakal dipindahkan di Jalan Tun Fatimah atau Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Katanya, beliau berharap lokasi yang akan dipilih DBKL itu tidak akan merencatkan perniagaan yang menjadi mata pencarian utama peniaga bazar itu.

"Sebelum ini bazar ini pernah juga dipindahkan ke Jalan Tun Fatimah tapi perniagaan terjejas teruk sebab tak laku, kami berniaga kecil-kecilan sahaja kalau di tempat terpencil tak ada orang lalu dan nak beli.

"Kalau di Jalan Tuanku Abdul Rahman pula kena beri laluan pada pasar malam pada hari Sabtu dan Ahad sedangkan pada hujung minggu ramai orang datang," katanya.

Difahamkan, peniaga bazar itu akan dipindahkan oleh pihak DBKL namun lokasi dan tarikh pemindahan masih belum dimuktamadkan.

Pada 3 Nov lepas, Bernama melaporkan Persatuan Peniaga Wisma Yakin meminta pihak berkuasa tempatan memindah atau menempatkan semula bazar di hadapan wisma itu di Jalan Masjid India di sini, ke kawasan lain. -- BERNAMA