Peniaga berputih mata ditawar kontrak katering tidak wujud

Peniaga berputih mata ditawar kontrak katering tidak wujud
Mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM21,000 kepada suspek untuk mendapatkan kontrak katering yang sebenarnya dipercayai tidak wujud. - Gambar hiasan
MARAN: Seorang peniaga berputih mata apabila kerugian RM21,000 diperdaya dua individu yang menawarkan kontrak penyediaan makanan (katering) yang tidak wujud bagi 700 orang di sini, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian jam 11.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, lelaki berusia 47 tahun, berada di sebuah kantin sebuah sekolah agama di Kuala Tembeling, Jerantut.

"Mangsa berjumpa seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Ustazah Maria. Wanita itu memaklumkan mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Haji Rahman sedang mencari kontraktor penyediaan makanan.

"Katering itu adalah untuk peserta kursus, pelajar di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR), bagi 700 orang, dengan kos belanja makan untuk sehari sebanyak RM28," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, untuk tujuan itu, mangsa berurusan dengan Haji Rahman yang mengarahkannya berjumpa seorang lagi suspek wanita lain di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Jengka bagi menguruskan kontrak berkenaan.

"Pada hari sama, lebih kurang jam 4.15 petang, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM21,000 untuk mendapatkan kontrak katering berkenaan," katanya.

Selepas menerima wang berkenaan, mangsa diarahkan wanita itu untuk berjumpa Kadi di ruangan menunggu PAID.

"Ketika menunggu Kadi, mangsa bertanya kepada staf PAID mengenai kontrak itu namun dimaklumkan bahawa PAID tidak membuat sebarang penawaran penyediaan makanan.

"Mangsa segera keluar mencari suspek wanita berkenaan namun suspek dipercayai sudah melarikan diri. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jengka," katanya.

Beliau berkata, pihak polis sudah mengambil percakapan mangsa dan akan meneruskan siasatan terperinci termasuk melihat rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di PAID untuk mengetahui individu yang menerima wang itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.