Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak memberi tempoh satu bulan kepada peniaga untuk menyelaraskan harga selepas perubahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam kepada sifar peratus.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sarawak, Md Nawawi Ab Rahman berkata, selepas tempoh itu, pihaknya tidak tidak akan berkompromi lagi kepada para peniaga yang masih belum menyelaraskan perubahan.

Menurutnya, bagi memastikan usaha ke aras penyelarasan perubahan itu berjalan lancar, pihaknya akan memulakan pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan Operasi Catut 4.0 esok.

"Ia bagi memantau perubahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada sifar peratus.

"Operasi ini juga memastikan proses pelaksanaan pemansuhan GST itu berlangsung secara jujur dan berhemah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Khamis.

Md Nawawi berkata, pihaknya akan membuka bilik gerakan dari pagi hingga 10 malam bagi negeri dan sehingga 6 petang di peringkat daerah untuk menangani apa juga isu.

Bagi operasi katanya, ia akan dilancarkan serentak dengan semua agensi lain kerana mereka telah mengemas kini indikator untuk mengesan sebarang penipuan oleh peniaga.