Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam usaha mengesan peniaga yang mengaut keuntungan sama ada ia dilakukan secara berasas atau semberono.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu perlu dijelaskan oleh peniaga sendiri beserta dengan alasan yang munasabah.

“Kami sendiri pun sedang melakukan (kajian) dan telah pun siap terhadap 10 barangan.

“Kami tahu di mana yang berlaku kenaikan sebab itu saya sebut ada amalan 'mark up' (naikkan harga) antara 67 sehingga 133 peratus. Saya tahu barangan itu, bila kita tahu kita boleh jalankan penguatkuasaan,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDNHEP di Dewan Serbaguna, Putrajaya.

Menurut Saifuddin, sekiranya terbukti berlaku ketirisan, kementerian boleh mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kalau kita dah tahu secara jelas, kita boleh terus 'zoom in' daripada tercari-cari. Itu antara kelebihan yang kita buat.

“Kita sedang mengambil tindakan yang selanjutnya dan bagi setiap lapisan perniagaan, kita sendiri pun kena tahu kenaikan harga yang dianggap berasas. Adakah 10 peratus, 15 peratus atau 20 peratus? Kita kena dengar daripada pemain dalam industri,” jelasnya.

Semalam, Astro AWANI melaporkan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yakin harga barang boleh turun dengan menangani masalah orang tengah yang mengaut keuntungan melampau.

BACA: 'Harga barang boleh turun, kadar tol pula boleh turun 25 peratus' - Tun Daim

Menurut Daim, keyakinan itu berdasarkan kajian serta pertemuan beliau dengan pelbagai pihak termasuk pihak koperasi dan pemborong.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan akan mendengar dahulu penjelasan daripada peniaga sebelum mengambil sebarang tindakan mengenai kenaikan harga.

“Mereka kena sebut tentang gaji, utiliti, sewa, pengangkutan dan banyak lagi beberapa faktor lain. Jadi bukan kata kita dapat satu angka kita akan terus menyalahi. Ini tidak adil untuk perniagaan.

“Jadi kerajaan kena ambil kira dan dengar serta mengambil tindakan yang dianggap sebagai munasabah. Kita kena dengar dulu penjelasan mereka. Itu proses yang kita ambil,” jelasnya.