Seorang peniaga di sini kerugian RM49,500 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian melibatkan mangsa berusia 48 tahun yang telah berhubung dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Paul' untuk urusan pinjaman wang.

"Setelah diberi penerangan dan dijanjikan pulangan yang munasabah, akhirnya pengadu bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM80,000.

"Pada 15 November lalu, mangsa mula membuat pelbagai bayaran untuk proses, pengaktifan akaun, bayaran pertama dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa sudah mendepositkan wang ke dalam beberapa akaun dengan berjumlah RM49,500 dan sehingga kini suspek masih terus menghubunginya lagi untuk meminta bayaran.

"Namun selepas itu mangsa tidak mahu meneruskan urusan permohonan pinjaman berkenaan selepas mengesyaki ada berlaku penipuan.

“Mangsa meminta suspek supaya wang diberikan itu dikembalikan, namun lelaki itu enggan memulangkannya.

"Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.