Kalangan perniagaan di Sarawak digesa memanfaatkan kaedah e-pembayaran kerajaan negeri itu, Sarawak Pay bagi menjalankan transaksi perniagaan masing-masing.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Datuk Husain berkata sistem pembayaran tanpa tunai itu setakat ini telah menerima pendaftaran lebih 50,000 pedagang bagi menjalankan transaksi mereka.

"Sarawak Pay yang juga sistem e-pembayaran paling popular di negeri ini, telah dilanggani kira-kira 500,000 orang pada masa ini.

"Oleh itu, kita berharap perniagaan tempatan ini akan memanfaatkan platform ini yang turut diberi subsidi oleh kerajaan negeri dalam kebanyakan transaksi perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum berlangsungnya majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak dan SEDC di sini, hari ini.

Sarawak Pay yang dilancarkan pada 15 Nov, 2017 adalah penyelesaian pembayaran mudah alih dan teknologi kewangan yang dilaksanakan kerajaan negeri itu bagi memperkasa agenda ekonomi digitalnya.

Sistem itu membolehkan pembayaran menerusi kaedah e-dompet elektronik (e-dompet), kad kredit atau perbankan internet.

Selain itu, Aziz berkata, sebagai antara agensi pelaksana bagi kerajaan Sarawak, SEDC akan terus memberi motivasi kepada usahawan tempatan dalam ekonomi digital sama ada menerusi e-dagang, pembayaran tanpa tunai serta data raya.

Beliau berkata, banyak kalangan usahawan yang telah melaksanakan teknologi komunikasi dan maklumat serta digital sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Atas alasan itu, ramai daripada usahawan kita yang mampu bangkit semula dan menjalankan perniagan secara dalam talian sebaik sahaja PKP dilonggarkan," katanya.

Mengulas MoU tersebut, Aziz berkata ini akan membuka jalan bagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu untuk mencapai kemajuan dan terbabit secara aktif dalam bidang ekonomi digital.

Pada majlis itu, beliau dan Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Seman menyaksikan pemeteraian memorandum oleh wakil SEDC yang juga Pengurus Besarnya Abdul Hadi Abdul Kadir manakala MPC Sarawak diwakili oleh Pengarahnya, Sarimah Misman.

MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak meninjau kerjasama dalam bidang latihan, perundingan dan bimbingan teknikal dalam usaha mempertingkat produktiviti dan kualiti yang dilakukan secara maya atau pendekatan bersemuka.

-- BERNAMA