Kajian tahunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, SPAD menunjukkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Kelang terus meningkat, khususnya ketika waktu puncak sebelah pagi.

Peningkatan itu adalah hasil beberapa inisiatif kerajaan dan dilaksanakan SPAD serta operator pengangkutan awam.

Kajian itu menunjukkan penggunaan pengangkutan awam pada 2013 meningkat 1.2 peratus kepada 20.8 peratus berbanding 19.6 peratus pada 2012.

Jumlah perjalanan pada waktu puncak sebelah pagi juga meningkat 9 peratus kepada 5.7 juta perjalanan, dengan 827,000 pengguna setiap hari.

Rel Grafik

Ini jelas menunjukkan lebih ramai penduduk warga kota dan sekitarnya menggemari pengangkutan awam berbanding memandu sendiri.

Antara inisiatif dilakukan kerajaan dan operator pengangkutan awam ialah menyediakan 470 bas baru RapidKL, 1,388 hentian bas baru atau yang diubahsuai, dan permulaan operasi hentian akhir bandar, HAB.

Inisiatif utama perkhidmatan rel pula ialah menambah 35 empat set gerabak bagi menambah kekerapan di waktu puncak, dan tambahan 37 enam set gerabak bagi KTM Komuter.

Bagi warga kota pula, mereka yang memilih untuk memandu ke pejabat tidak mempunyai alternatif lain, selain berdepan dengan masalah kesesakan jalanraya di hampir semua laluan masuk ke ibu negara.

Pengangkutan Awam

Astro AWANI mendapatkan pandangan pengguna pengangkutan awam untuk mengetahui reaksi mereka berhubung perkhidmatan yang disediakan ketika ini.

Sememangnya ramai memilih untuk menggunakan pengangkutan awam kerana tidak tahan dengan keadaan trafik yang sesak lebih-lebih lagi pada waktu puncak.


Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar memberi reaksi segera berhubung peningkatan jumlah penggunaan pengangkutan perkhidmatan awam tahun lalu.

Dalam reaksi menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), Syed Hamid berkata jumlah mereka yang perkhidmatan awam menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding sebelum ini.

Peningkatan itu tambahnya memberi semangat kepada SPAD untuk terus meningkatkan mutu dan perkhidmatannya.