Ketua Komunikasi Korporat sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu disamun dan diacu menggunakan pisau, malam tadi.

Dalam kejadian berlaku di ruangan lif pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Ketika kejadian mangsa Ahmad Fauzan Abdul Kadir, 32 sedang menunggu lif untuk naik ke rumahnya.

Namun, secara tiba-tiba seorang lelaki bertopeng dengan loghat Kelantan menghampirinya lalu menekup mulut dan mengacu pisau pada leher.

"Suspek telah menyeret saya dari tingkat dua hingga ke tingkat lima lalu mengurung saya di dalam bilik dan mengikat tangan serta kaki saya," katanya ketika ditemui di sini tengah malam tadi.

Bagaimanapun, Ahmad Fauzan berjaya melepaskan diri dan berlari ke tingkat lapan lalu meminta bantuan jiran.

Ekoran itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM8,000 selepas beberapa barangan berharga termasuk dua telefon bimbit dilarikan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.

Katanya, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.