Penjawat awam Johor bakal terima imbuhan melebihi RM1,500

Penjawat awam Johor bakal terima imbuhan melebihi RM1,500
Jumlah sebenar bayaran hanya akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) ketika pembentangan bajet itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Nov ini. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Penjawat awam Johor dijangka menerima bayaran khas melebihi RM1,500 yang bakal diumumkan dua minggu lagi pada pembentangan Bajet Negeri 2018.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani bagaimanapun berkata jumlah sebenar bayaran hanya akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika pembentangan bajet itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Nov ini.

"Kerajaan negeri menjamin bayaran khas untuk penjawat awam Johor adalah lebih baik daripada apa yang dinyatakan kerajaan persekutuan sebelum ini.
"Ini sebagai penghargaan kepada semua penjawat awam Johor," kata beliau kepada pemberita selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta kira-kira 2,700 penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini, terdapat 16,612 penjawat awam negeri dan 121,335 penjawat awam persekutuan berkhidmat di Johor.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bayaran khas berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam persekutuan.

Bayaran itu, katanya, akan diberikan sebanyak dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari depan dan RM500 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

Katanya, kepada pesara kerajaan, bayaran khas sebanyak RM750 turut diberikan iaitu RM500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri.

-- BERNAMA