Kes penyalahgunaan air ketum khususnya di kalangan penjawat awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan telah menunjukkan peningkatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata rekod Ibu Pejabat Daerah Putrajaya menunjukkan sebanyak 58 tangkapan dalam tempoh sembilan bulan pertama pada tahun ini berbanding 30 tangkapan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama, beliau berkata polis juga melakukan 29 rampasan pada tahun ini berbanding 16 rampasan pada tahun lepas.

"Siasatan awal polis mendapati mereka mendapatkan daun ketum ketika balik kampung dan diproses di sini untuk kegunaan sendiri atau diagih kepada rakan-rakan, bukan untuk dijual secara besar-besaran.

"Polis Putrajaya akan meningkatkan pemantauan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran IPD Putrajaya di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa rampasan terbaru adalah pada dua minggu lepas dimana polis merampas 23 botol (1.5 liter) air ketum siap diproses di sebuah premis di Presint 18.

Rosly berkata rampasan dan tangkapan dibuat di kawasan perumahan dan juga kaunter agensi kerajaan di Presint 1, Presint 9, Presint 11 dan Presint 18 dan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.

--BERNAMA