Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) senada dan menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengenai arahan setiap warga penjawat awam untuk mematuhi segala peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa musim perayaan ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, setiap SOP dan larangan rentas negeri untuk pulang ke kampung harus dipatuhi dengan sepenuhnya.

Malah katanya, penjawat awam juga harus sedar dan mengetahui implikasi yang bakal dikenakan sekiranya tidak mematuhi pekeliling atau peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

"Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman tatatertib seperti amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

"Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya lagi, tindakan atau perbuatan yang terlalu mengikut perasaan memberi kesusahan kepada setiap orang kelak.

"Setiap peraturan yang ditetapkan kerajaan bukanlah bertujuan untuk menghukum kita tetapi untuk membawa semula keamanan dan kemakmuran kepada negara," tambahnya.

Justeru itu, CUEPACS menyeru kepada semua warga penjawat awam untuk mematuhi SOP sambutan Aidilfitri di bawah PKPB.

"Jangan lakukan perjalanan rentas negeri tanpa keizinan pihak berkuasa, sambutlah aidilfitri dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Jika kita berjaya mengatasi dan mengekang penularan wabak Covid-19 dengan jayanya, sudah pasti kita akan boleh melakukan semula rutin kehidupan seperti biasa tanpa kebimbangan pada masa akan datang," tegas beliau.