Penjawat awam di Sabah menerima khabar gembira hari ini selepas pengumuman bantuan khas berjumlah RM500 buat mereka sewaktu pembentangan Belanjawan Negeri 2020 di sini hari ini.



Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bantuan khas itu akan diagihkan kepada semua kakitangan awam negeri bersama gaji pada bulan Januari tahun hadapan.



“Selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dalam bajet negara 2020, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan bantuan khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri.



“Saya juga berharap agar insentif-insentif ini akan memberikan suntikan semangat kepada ketua-ketua jabatan dan para penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih lagi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya sewaktu pembentangan. 



Sementara itu, dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bernilai RM4.143 bilion yang dibacakan Mohd Shafie hari ini menyaksikan penurunan sebanyak 1.71 peratus berbanding tahun lalu.



Penurunan berkenaan adalah melibatkan jumlah sebanyak RM72.6 juta. 



Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, rang undang-undang itu adalah berpaksikan kepada pemerkasaan rakyat dengan pendekatan pembangunan yang inklusif.