Dalam ucapan pertama kepada seluruh rakyat Malaysia, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pelantikannya sebagai Perdana Menteri susulan kemelut politik yang melanda negara minggu lalu.

Meskipun mengakui pelantikan beliau bukan melalui pilihan raya, jelasnya, pelantikan tersebut adalah amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras prinsip demokrasi berparlimen di negara ini.

“Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihan raya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul, katanya dalam ucapan pertama kali sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Isnin malam.

BACA: Teks penuh ucapan Perdana Menteri: Rayuan kepada rakyat Malaysia


Muhyiddin pada masa menjelaskan keputusan beliau menerima jawatan sebagai Perdana Menteri adalah untuk tidak membiarkan kemelut politik yang berlaku minggu lalu berpanjangan.

BACA: 'Jemaah menteri dalam kalangan individu berintegriti, bebas rasuah' - PM

“Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian. Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan. Kerana itu saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan meminta beliau menyokong saya.

“Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti.

“Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020. Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai Perdana Menteri. Saya tahu ada yang marah kepada saya.

“Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat. Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut,” jelasnya.