Dua penjenayah warga asing ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Felda Sahabat Lahad Datu, pada Selasa.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di anggota badan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, terdahulu ketika kejadian, sepasukan anggota polis sedang mengesan dua bot pam yang berada dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Jelasnya, berlaku adegan mengejar bot suspek di peringkat awal sebelum suspek melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

"Semasa membuat pintasan dalam keadaan lampu biru polis dinyalakan dan siren dibunyikan, suspek telah melepaskan tembakan ke arah bot pasukan keselamatan.

"Bagi tujuan mempertahankan diri, kru bot telah melepaskan beberapa tembakan balas manakala salah satu bot suspek telah melarikan diri ke perairan Filipina," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Omar berkata, sebaik membuat pemeriksaan di lokasi berbalas tembakan itu, polis menemukan dua mayat lelaki dengan salah seorangnya didapati terapung di laut manakala seorang lagi berada di dalam bot pam.

Ditanya sama ada suspek yang ditembak mati mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Abu Sayaff atau penjenayah sempadan rentas, beliau berkata perkara tersebut masih dalam siasatan polis.

"Kalau nelayan, dia tidak akan bawa senjata. Kalau penyeludupan, tidak ada barang dia seludup.

"Kemungkinannya ialah, sama ada mereka ini adalah spotters yang cuba mengesan mangsa-mangsa untuk diculik, ataupun militan yang cuba melakukan tindakan keganasan.

"Ada beberapa kemungkinan yang masih kita siasat," katanya.

Tambah Omar, selain rampasan bot pam dan penemuan mayat itu, polis juga berjaya merampas beberapa barangan seperti selaras garand rifle, dua butir peluru dan seunit kelopak peluru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.