Seorang wanita penjual kuih maut manakala suaminya parah selepas gerai mereka dirempuh kereta dipercayai dipandu lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol dan ganja pagi tadi.

Ketika kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang jam 9 pagi tadi, mangsa Roslinda Mohamad Isa, 44, bersama suaminya, Mat Subri Saad, 44, sedang berniaga di bahu jalan di Jalan Bertam Indah arah Bertam berhadapan Masjid Al Taqwa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kepala Batas kira-kira dua jam selepas kejadian.

Suami mangsa masih menerima rawatan di hospital sama akibat kecederaan parah.

Noorzainy berkata akibat rempuhan itu telah menyebabkan pasangan suami isteri itu tercampak lebih empat meter.

Susulan kejadian, pemandu kereta berusia 31 tahun yang juga lelaki warga tempatan ditahan untuk siasatan.

Hasil ujian air kencing lelaki berkenaan didapati positif ganja, kata Noorzainy.

Menurutnya, saksi kejadian mendakwa pemandu berkenaan berada dalam keadaan mabuk berikutan penemuan tin minuman keras di dalam kereta dipandunya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.