Kehidupan Husmizar Hussin, 38 tahun, pada suatu masa dahulu serba kekurangan dan hanya mengharapkan hasil penjualan burger.

Begitupun, berbekalkan kesabaran dan hasrat untuk berbakti kepada bapanya yang kini sakit, Husmizar akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan usaha bapanya dengan menternak kambing susu.

Bermula dengan sepasang kambing, kini Husmizar memiliki 140 ekor kambing termasuk kambing daging.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Leh, kini mampu menghasilkan pendapatan lumayan hingga mencecah RM9,000 sebulan.

Walaupun nilai itu barangkali dianggap tidak setinggi pendapatan penternak berskala besar lain, tetapi bagi dirinya itu sudah cukup untuk menampung perbelanjaan seisi keluarganya.

Keselesaan dalam belanjawan keluarga antara lain turut disumbangkan bantuan daripada isteri, selain kos hidup yang rendah di kampung.

Husmizar menganggap pencapaiannya setakat ini boleh dibanggakan, terutamanya apabila melihat pada kelengkapan yang digunakannya agak sederhana jika dibandingkan perusahaan ternakan kambing komersial.

“Saya hanya penternak kambing di kampung. Bukan macam orang lain, tapi ia sudah cukup untuk saya berfikir untuk setapak lagi,” katanya merendah diri.

Bermula dari bawah

Kandang ternakannya dibuat daripada kayu terpakai, dibeli hasil bantuan orang kampung di tapak pembinaan. Dia nekad berbuat demikian kerana enggan memulakan ternakan kambing hasil daripada pinjaman.

“Biarlah saya mulakan dari bawah, dan usaha ini sudah berlanjutan sejak tahun 2003 lagi,” katanya semasa ditemui di kandang ternakan kambing di belakang rumahnya di Kampung Alor Merah, Jalan Kolam Air, Arau.

Sebagai penjual tunggal susu kambing di Perlis, beliau berjaya memasarkan susu kambing miliknya sehingga ke Langkawi, Kedah dan seluruh Perlis.

Bagi meningkatkan keuntungan, beliau juga menjual tahi kambing untuk dijadikan baja.

“Permintaan tahi kambing juga meningkat, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan perniagaan saya,” katanya.

Beliau juga menanam sendiri tanaman napir, iaitu sejenis tumbuhan yang dijadikan makanan harian kambing.

“Ternakan kambing ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kambing ini sensitif kepada keadaan persekitaran. Kambing juga boleh merajuk atas sebab tertentu dan enggan menghasilkan baka dan susu,” katanya.