DENGAN sukacitanya Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa kapal layar besar Equanimity akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd ataupun syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) nya pada harga USD126 juta. Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada hari ini telah memberikan kelulusan untuk menerima, tawaran untuk membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Harga jualan USD126 juta akan dibayar oleh Genting, dan akan diterima oleh Mahkamah, pada penghujung April 2019. Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan Malaysia; dalam jangka masa cuma 8 bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.

Jumlah USD126 juta ini ialah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, semenjak Oktober 2018, apabila Equanimity mula-mula sekali diumumkan untuk jualan. Banyak tawaran yang telah diterima dalam tempoh ini, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang melebihi USD100 juta. Walau bagaimanapun, Genting telah menawarkan harga tertinggi, yang pada hari ini telah diluluskan oleh Mahkamah untuk diterima. Memandangkan tawaran daripada Genting telah dirunding secara terus dengan Kerajaan Malaysia, tiada komisyen ejen yang perlu dibayar; yang membawa kepada penjimatan sebanyak USD4.4 juta. Kesannya, meskipun nilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham sebanyak USD130 juta tidak dicapai, namun pulangan bersih kepada Kerajaan Malaysia ialah yang sebaiknya, kalaupun tidak lebih baik daripada yang dijangkakan.

Jualan kehakiman pada nilai USD126 juta adalah bersejarah, dari mana-mana segi pun. Jumlah ini merekodkan tanda aras yang tinggi bagi sistem kehakiman kita dalam hal memastikan nilai pasaran diperoleh daripada kapal yang dijual melalui proses Mahkamah, tanpa sebarang diskaun. Perkara ini harus dipuji, lebih-lebih lagi memandangkan hasil ini dicapai daripada jualan kapal layar besar yang mewah dan sofistikated, yang kumpulan pembelinya adalah terlalu kecil.

Harga jualan yang sangat memuaskan sebanyak USD126 juta ini berjaya dicapai sebahagian besarnya melalui kepakaran dan kemahiran Kumpulan Perundangan yang mewakili Kerajaan Malaysia, kepada mereka saya berikan penghormatan. Kumpulan Perundangan ini telah bertindak melangkaui tuntutan tugas mereka, bergerak untuk bertemu dengan pembeli berpotensi di Hong Kong dan London, dan menanggung sendiri kos-kos perjalanan ini; bagi memastikan jangkauan seluas mungkin, dan untuk memahami dengan lebih baik keadaan-keadaan jualan tersebut. Usaha mereka dilengkapi dengan kerjasama daripada Syerif Mahkamah yang tangkas dan mantap; serta profesionalisme dan kesediaan Hakim Admiralti untuk bertindak dalam keadaan-keadaan yang amat luar biasa.

Tentera Laut Diraja Malaysia telah bermurah hati memberikan ruang untuk Equanimity berlabuh selama lebih 5 bulan, tanpa sebarang caj dikenakan. Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia, bersama-sama dengan pihak Polis Diraja Malaysia, telah memastikan keselamatan dan kesejahteraan Kapal tersebut semasa di bawah tahanan, malahan telah dengan berhati-hati mengiringi kapal semasa membuat ‘sea trials’ bersama pembeli-pembeli berpotensi. Kerajaan Malaysia amat berterima kasih atas bantuan ini, kerana ia telah banyak membantu dalam hal mengurangkan kos pengelenggaraan Equanimity semasa di bawah tahanan.

Bagi tujuan ketelusan, suatu kenyataan lanjut akan dikeluarkan sebaik sahaja harga jualan diterima, berserta dengan perincian perbelanjaan yang ditanggung, dan jumlah bersih yang akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang baru dibuka.

Kerajaan Malaysia menghargai tawaran yang diterima daripada Genting. Hakikat bahawa Equanimity dibeli pada nilai pasaran sebanyak USD126 juta oleh Kumpulan Genting, yang memiliki limbungan kapal untuk membina kapal layar besar dan mengendalikan bahagian pencateran kapal layar mewah memang sesungguhnya amat penting.


Tommy Thomas
Peguam Negara
3 April 2019