Telur penyu dijual di Terengganu khususnya di Pasar Payang bukanlah daripada penyu belimbing sebaliknya penyu agar dan penjualannya tidak menyalahi undang-undang.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, penjualan telur penyu agar tidak menyalahi undang-undang di negeri ini.

"Telur penyu belimbing besar berbanding telur penyu agar. Walaupun penjualan telur penyu agar tak menyalahi peraturan, saya sendiri tak pernah beli dan tak pernah rasa telur penyu," katanya.

Dr Azman yang juga Adun Jabi berkata, kerajaan negeri bukan sahaja galas tanggungjawab untuk menyebarkan kesedaran terhadap perlindungan haiwan itu malah giat melaksanakan aktiviti pemuliharaan penyu.

Menurutnya, sejak 2005 hingga 2018, Kerajaan Terengganu memperuntukan sejumlah RM8.2 juta untuk Tabung Penyu.

Katanya, pengurusan tabung berkenaan berada di bawah tanggungjawab Exco pertanian dengan Jabatan Perikanan sebagai jabatan yang bertanggungjawab.

"Sebahagian besar peruntukan digunakan untuk penjagaan kawasan pendaratan penyu, pengumpulan telur, pembelian telur dari pemajak, penetasan dan pelepasan anak penyu ke laut.

"Pajakan hanya diberi kepada kawasan kadar pendaratan rendah. Kawasan pendaratan tinggi dijaga oleh kakitangan Jabatan Perikanan," katanya.

Beliau berkata, ia adalah antara usaha kerajaan negeri dalam memastikan penyu dapat terus mendarat di pantai-pantai negeri Terengganu.