Seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN) Pulau Pinang antara enam individu yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah, George Town atas 32 pertuduhan terlibat dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah kepada warga asing.

Mohd. Faizul Arifin, 34, berdepan 11 pertuduhan masing-masing dua di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), empat di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan lima di bawah Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Turut didakwa dibawah seksyen sama ialah lima individu iaitu Datuk Lai Chin Wah, 56; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 44, Chien Guan Chai, 36; dan Loh Chan Cheong, 34.

Kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 .

Mengikut pertuduhan Mohd Faizul didakwa telah mengeluarkan dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran Malaysia dan kad pengenalan Malaysia atas nama individu disyaki warga China bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat JPN di Jalan Anson, Georgetown di antara Januari hingga Februari lalu.

Bagi pertuduhan itu, tiada pengakuan direkodkan semua tertuduh.

Sementara itu, di mahkamah berasingan , Mohd Faizul Arifin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan di bawah seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen daftar beranak iaitu sijil kelahiran Malaysia.

Dia juga berdepan lima pertuduhan dibawah peraturan 25(1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan lima kad pengenalan di atas nama disyaki warga China.

Manakala empat lagi tertuduh, Lai Chin Wah, Yap Cheng Wah, Chien Guan Chai, dan Loh Chan Cheong, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen 466 Kanun Keseksaan.

Pengakuan dibuat sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 pada Khamis.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan iaitu menjual sijil kelahiran dan Mykad Malaysia atas nama individu disyaki warga China bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran.

Kedua-dua hakim tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan kes akan disebut semula pada 18 September ini.

Pasukan pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaraya Yusaini Amer Abdul Karim dibantu Timbalan Pendakwaraya Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Syafiq Sazali .

Kemua mereka diwakili peguam Sukhindarphal Singh, Datuk Ranjit Singh Dillon, Dr. N Ahilan, dan Lee Kean Wooi.

Pada Rabu, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Ekoran itu, polis yang menjalankan siasatan berjaya membongkar sindiket berkenaan yang dikatakan mengaut keuntungan antara RM100,000 hingga RM600,000 hasil jualan MyKad sah berkenaan kepada warga asing dan menahan 20 individu setakat ini bagi membantu siasatan.