Penstrukturan semula Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dijangka boleh mengurangkan beban hutang kerajaan negeri kepada RM2.2 bilion daripada RM3.2 bilion.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata penstrukturan PAIP akan membolehkan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan dihapuskan dengan statusnya ditukar kepada geran atau peruntukan.

“Pada masa kini kerajaan negeri mempunyai hutang kepada kerajaan persekutuan berjumlah RM3.2 bilion dan kami tidak mempunyai masalah membayarnya.

"Dari jumlah keseluruhan hutang tersebut, RM2.2 bilion darinya adalah berkaitan dengan bayaran untuk bekalan air," katanya kepada media di sini pada Jumaat.

Menurut laporan New Straits Times, Muhammad Safian berkata, kerajaan persekutuan telah membenarkan polisi menghapuskan hutang tersebut jika PAIP melalui penstrukturan semula.

“Saya telah diberikan tanggungjawab untuk mengetuai rundingan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Penstrukturan semula PAIP dijangka dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini,” katanya.

Beliau turut dipetik berkata, baki hutang kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion akan dilunaskan secara berperingkat menerusi beberapa kaedah, termasuk rundingan bersama kerajaan persekutuan kerana ia boleh dilupuskan di atas beberapa faktor utama.

“Baki hutang kerajaan negeri itu termasuk untuk pelaksanaan projek rumah kos rendah. Kedua, pinjaman RM200 juta apabila kerajaan negeri menjadi hos Sukan Malaysia (Sukma) pada 2012, di mana kami terpaksa memperbaiki infrastruktur Majlis Bandaraya Kuantan seperti kolam renang dan stadium

“Selebihnya adalah perbelanjaan yang dibuat sewaktu tragedi banjir, di mana kami telah diberi RM40 juta sebagai pinjaman. Ketika ini kami sedang berunding dengan kerajaan persekutuan untuk menukar dua perkara ini kepada peruntukan, dan bukannya hutang," tambahnya.

Jelasnya kerajaan negeri akan mengutip bayaran tertunggak yang sepatutnya dilunaskan kepada mereka oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang
menggunakan air untuk menjana empangan mereka di Cameron Highlands dan Tekai.

“GLC juga mempunyai hutang kepada kerajaan negeri dan pada ketika ini hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan berada di tahap yang tidak membimbangkan,” jelasnya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Isnin lalu, bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob membidas tuduhan bahawa hutang kerajaan negeri mempunyai kaitan dengan pentadbirannya yang lalu.

BACA: Hutang RM3 bil bukan sebab ketidakcekapan atau berjoli - Adnan Yaakob

Beliau menjelaskan, hutang tersebut diwarisinya dari bekas pemimpin terdahulu dan kebanyakannya adalah hasil projek-projek pembangunan negeri.

Antara projek yang dimaksudkan adalah usaha meningkatkan bekalan air, membina rumah kos rendah dan sebagainya.

Namun jelasnya, masih ramai pihak yang hanya mahu menyalahkan kerajaan negeri tanpa melihat bukti kukuh.