SEORANG pensyarah dari Amerika Syarikat (AS) memuji tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan pandemik COVID-19.

Berada di Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, Profesor Madya Sains Kajian Otak, Neurologi dan Psikologi di Washington University, Missouri, Dr Jason Hassenstab, berkata kerajaan negara ini cemerlang dalam memastikan rakyatnya mematuhi setiap arahan sepanjang perintah itu dilaksanakan.

"Penguatkuasaan peraturan membendung COVID-19 di Malaysia dilaksanakan di mana-mana, walaupun di kawasan hutan hujan terpencil tempat kami menginap.

"Pengguna telefon mudah alih sentiasa diingatkan tentang langkah penjarakan sosial setiap hari. Malah ruang bahagian atas telefon saya yang biasanya bertulis 'Sprint' sebaliknya (pada ketika itu) ditulis 'Stay Home'," katanya dalam ciapan di akaun Twitter.

Hassentab bersama keluarganya, sempat berkunjung ke empat bandar iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu sebelum pulang, turut berkongsi pengalamannya ketika berada di lapangan terbang.

Melalui pemerhatiannya, beliau melihat pengawal keselamatan menguatkuasakan langkah penjarakan sosial.

"Semua pekerja lapangan terbang memakai penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman disediakan hampir di setiap kaunter, mesin daftar tunai, dan di mana-mana stesen," katanya.

Dakwanya, situasi itu sedikit berbeza jika dibandingkan dengan Lapangan Terbang Atlanta di Amerika Syarikat kerana hanya kira-kira lima peratus kakitangan kastam dan kawalan sempadan memakai topeng dan sarung tangan.

Dalam pada itu, Hassentab turut berpendapat Malaysia boleh dijadikan teladan oleh negara lain dalam menangani pandemik COVID-19.

"Kita memerlukan mesej yang jelas dan konsisten untuk betul-betul menurunkan kes jangkitan dan kita perlu mengambil teladan yang besar seperti dilaksanakan di Malaysia," katanya.