Pensyarah warganegara Mesir yang bertugas di sebuah kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan mencabul penuntutnya, awal bulan ini.

Tertuduh, Ahmed Abdellatif Ahmed Khalil, 56 tahun bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Hakim kemudiannya menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh mendapatkan jurubahasa Bahasa Arab.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul seorang perempuan berusia 19 tahun di sebuah bilik pensyarah di kolej Nilam Puri, Kota Bharu pada jam 12.15 tengah hari, 7 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini media melaporkan seorang penuntut perempuan mendakwa dicabul pensyarahnya yang berasal dari negara Timur Tengah di dalam bilik di sebuah kolej di Nilam Puri.