Tutup

'Pentadbiran British suatu ketika dahulu teratur, rasuah jarang berlaku' - Khoo Kay Kim

'Pentadbiran British suatu ketika dahulu teratur, rasuah jarang berlaku' - Khoo Kay Kim
Ikuti temu bual dengan Khoo Kay Kim dalam dalam video di microsite '60 Jalan Merdeka' di sini. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PAKAR sejarah nombor satu negara, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim umpama senaskhah buku sejarah.

Menyimpan rekod-rekod berharga pelbagai peristiwa penting ketika saat negara meniti saat kemerdekaan -- termasuk naskhah ceramah ikon-ikon politik yang penting dalam rentetan lipatan sejarah penubuhan tanah air.

Aura Kay Kim memang tidak pernah luntur. Kalau berborak dengan beliau, wartawan bertugas pasti akan leka dengan penceritaan sejarah beliau.

Wartawan Astro AWANI, Asyraf Hasnan dan Nizam Bakeri berkesempatan menemu bual Khoo bagi merungkai rentetan kegemilangan Tanah Melayu serta pembentukan Malaysia menerusi penyatuan Sabah dan Sarawak.
Pertemuan hampir dua jam di pejabatnya di Universiti Malaya, Petaling Jaya baru-baru ini, Khoo Kay Kim turut berkongsi ceritera tentang pegorbanan, aspirasi dan harapan beliau dalam pembentukan negara bangsa.

Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
ASTRO AWANI: Boleh mengimbas semula sambutan Kemerdekaan pertama, Tan Sri?

Khoo Kay Kim: Kalau dari pandangan golongan terdidik, harapan mereka memang tinggi kerana bila negara ini bebas daripada ajahan British, banyak jawatan kerajaan perlu diisi. Sebab itu saya membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran.

Saya masa itu begitu aktif dalam bola sepak. Ramai pemain bola sepak zaman itu tidak mengutamakan pekerjaan. Apa sahaja pekerjaan asalkan kita boleh bekerja di tempat itu. Setiap hari bermain bola sepak. Menjelang tahun 1957, golongan muda digalakkan melanjutkan pelajaran untuk mengisi jawatan yang akan dikosongkan oleh pegawai British.

Tanpa ijazah, tidak boleh. Sebab itu saya pergi ke universiti dan saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap masa hadapan.

Tapi bagi orang biasa mereka tidak begitu faham apa yang sebenarnya telah berlaku lebih susah lagi apa akan berlaku kalau British tinggalkan negara ini, mungkinkah masyarat masih stabil. Sewaktu itu, darurat masih belum ditamatkan.

Jadi, ramai orang takut kalau komunis bangkit semula macam mana? Dari pandangan pihak British, tahun 1954 jelas pihak komunis sudah dimusnahkan. Oleh sebab itu, British berbincang dengan pemimpin negara untuk membebaskan Tanah Melayu. Seperti yang saya kata, golongan muda itu mempunyai harapan yang sangat tinggi.

Kami gembira tapi golongan tua terutama sekali yang sudah begitu puas hati dengan pentadbiran British kerana pentadbiran British itu teratur. Misalnya, rasuah jarang berlaku. Semua ikut undang-undang jadi mereka takut kalau pihak British tidak lagi menjalankan pentadbiran dan ada pegawai-pegawai baharu mungkinkah keadaan itu dapat diteruskan?

Itulah keadaan menjelang tahun 1957.

Tunku Abdul Rahman

ASTRO AWANI:  Di mana anda berada pada 31 Ogos, 1957 dan bagaimana senarionya sewaktu itu?

Khoo Kay Kim: Masa itu, universiti sedang bercuti. Dulu sesi pertama universiti bermula dari bulan Jun lebih kurang universiti telah mula bercuti, jadi saya balik ke Ipoh. Kami berpeluang banyak mendengar banyak ceramah ahli politik.

Masa itu saya buat kali pertama dapat mendengar ucapan oleh Tun Tan Cheng Lock dan Dato' Onn Jaafar.

Masa dulu ketika memberi ceramah, sangat kompleks kerana masyarakat bukan faham semua bahasa jadi kalau seorang penceramah bertutur dalam bahasa Inggeris, ucapan dia perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu, Tamil dan Cina.

Jadi bila orang itu faham dalam bahasa Inggeris, bila terjemahan dilakukan dia keluar. Jadi begitulah menjelang tahun 1957 kami banyak terdedah kepada bekas pemimpin negara, ahli politik yang aktif. Jadi saya selalu dibawa oleh bapa saya sebab itu saya ada peluang dengar ucapan ahli politik di Ipoh pada ketika itu adalah D.R Seenivasagam dan SP Seenivasagam, mereka menubuhkan PPP, Perak Progressive Party kemudian dijadikan Peoples Progressive Party.

Mereka tidak dapat dikalahkan di Ipoh. Sehingga mereka meninggal dunia, tidak ada parti yang boleh menang pilihan raya.

ASTRO AWANI: Banyak artikel yang disiarkan pada tahun 1957 termasuk perkara Tunku Abdul Rahman meluluskan acara laga lembu dan penubuhan tabung rakyat untuk menyambut kemerdekaan. Dalam sisi lain, bagaimana kemerdekaan itu disambut 60 tahun yang lalu?

Khoo Kay Kim: Majoriti tidak faham. Menjelang Pilihan Raya 1955, pihak pemerintah hendak tahu setakat mana orang biasa faham. Murid sekolah digunakan untuk menjalankan penyelidikan.

Murid-murid sekolah saya (St Michael Institution, Ipoh) dipilih untuk melawat apa yang dipanggil ketika itu, kampung baharu, tempat orang Cina diletakkan supaya mereka tidak dapat diganggu oleh komunis. Setiap kali kami masuk kampung itu, sebelum kami menyoal, mereka sudah kata "kami tidak tahu, kami tidak tahu" dalam bahasa Cina.

Jadi orang biasa masa dahulu sangat takut kepada Kerajaan. Mereka tidak faham apa itu Kerajaan, walaupun pihak British cuba meyakinkan rakyat. Misalnya, setiap orang gabenor semasa menulis surat kepada rakyat, tidak kira siapa (gabenor), dia akan mengakhiri surat itu dengan perkataan "I am your obedient servant".

Namun demikian, mereka (rakyat) masih takut dan pegawai-pegawai kerajaan yang berintegriti dan ramai. Bila orang ramai bawa hadiah, mereka tolak.

Misalnya, gabenor ada sekali semasa perayaan, diberi hadiah pen. Dia terpaksa menulis surat kepada pejabat colonial di England untuk meminta kebenaran. Jadi ramai orang takut kerana kalau British sudah keluar (dari Tanah Melayu), macam mana? Sebab di tempat seperti Indonesia, selepas Belanda keluar, banyak kekacauan.

Di Filipina, Myanmar termasuk di India. Misalnya di India, orang yang mengetuai nasionalis India boleh dikatakan dia bertanggungjawab mewujudkan negara bangsa India, Ghandi di bunuh oleh orang dia sendiri. Jadi orang bimbang.


ASTRO AWANI: Bilakah ketakutan dan kerisauan itu mula hilang sekaligus bertukar keyakinan rakyat bahawa kita ada Kerajaan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang boleh memerintah sendiri?

Khoo Kay Kim: Saya rasa, sesudah Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri selepas 31 Ogos 1957, Tunku ini dia banyak pengalaman kerana mendapat pendidikan di Universiti Cambridge. Di universiti pun beliau bukan penuntut biasa, nakal sedikit. Jadi dia faham.

Misalnya semasa dia menjadi Perdana Menteri, ada penuntut di universiti selalu mengadakan perarakan maki dia. Jadi bila dia diberi tahu, beliau kata "Ohhh... mereka itu budak sahaja, nanti bila mereka keluar dari universiti, nanti tidak ada masalah.” Oleh sebab itu saya rasa beliau dapat membawa negara.

Saya beri satu contoh lebih kurang tahun 1950 sebelum 1957, ada conscription kerana darurat. Jadi banyak golongan muda dikehendaki masuk pasukan tentera. Jadi orang Cina tidak suka jadi tentera, ramai balik ke negeri China. China pada ketika itu telah mulai dikuasai komunis.

Jadi mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu, mereka hendak balik sini dan Tunku membenarkan mereka balik. Jadi dia sangat di sayangi oleh rakyat kerana orangnya lurus. Kita tidak pernah dengar Tunku ini terlibat dengan rasuah. Hanya beliau sangat suka sukan.

Sukan termasuk lumba kuda. Itu sahaja. Jadi bila Lee Kwan Yew masa itu Ketua Menteri Singapura mahu bersama Tanah Melayu menubuhkan Malaysia, Kwan Yew selalu mengikut Tunku Abdul Rahman ke stadium menonton bola sepak, padahal dia bukan peminat bola sepak.

ASTRO AWANI: Bercakap soal Singapura, bagi Tan Sri sendiri bagaimana momen ketika Singapura masih bersama Tanah Melayu? Apa keadaan masyarakat pada ketika itu dan respon rakyat apabila Singapura menyuarkan hasrat untuk keluar dari Tanah Melayu?

Khoo Kay Kim: Singapura, kedudukan sangat-sangat ganjil. Singapura dari awal lagi sudah menjadi tanah jajahan British. Stamford Raffles tiba pada 1815 dan berjaya menipu Kerajaan Johor Lama sehingga pihak Syarikat India Timur dapat menguasai Singapura.

Tapi setiap kali orang menggunakan istilah Malaya, orang Malaya, tapi Tanah Melayu. Tetapi yang bukan Melayu tertutama yang berpelajaran Inggeris akan panggil Malaya. Gugusan Kepulauan Melayu pada 1824 dibahagikan dua, pihak British dan Belanda bersetuju British akan memberi tumpuan kepada bahagian utara manakala Belanda bahagian Selatan.

Oleh sebab itu selatan dipanggil India Timur Belanda. Jadi Utara, ramai menggunakan British Malaya dan kemudian beransur-ansur British digugurkan kerana Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Pihak British hanya menjajah Negeri-negeri Selat, ini termasuk Singapura.

Tapi walaupun dari segi undang-undang, Singapura bukan sebahagian. Misalnya, Negeri Melayu Naungan, dalam bidang sukan Singapura selalu disebutkan sebagai sebahagian daripada Malaya. Misalnya, kali pertama diadakan pada tahun 1922, pertama kali pertandingan tenis seluruh Malaya. Singapura termasuk dalam Malaya.

Jadi pada tahun 1949, bila Tanah Melayu bertanding dalam Piala Thomas, badminton dan muncul sebagai juara.

Ada pemain dari Singapura mewakili Tanah Melayu walaupun pada tahun 1948, Singapura yang sudah ada Lembaga Olimpik, dapat mengambil bahagian di dalam Sukan Olimpik di London.

Tanah Melayu tidak kerana di Tanah Melayu, Lembaga Olimpik hanya ditubuhkan pada 1953. Jadi dalam bidang sukan, selepas Tanah Melayu menang Piala Thomas.

Jadi tiga tahun kemudian akan diadakan pertandingan sekali lagi dan kerana Tanah Melayu jadi juara, jadi pertandingan akhir akan diadakan di Tanah Melayu. Persatuan Badminton memilih Singapura sebagai tempat untuk diadakan pertandingan akhir. Lagipun di Singapura telah ada Radio Malaya.

Jadi siaran secara langsung akan diadakan. Jadi bila menjelang 1952, ramai orang di Tanah Melayu membeli radio. Itulah permulaan siaran radio. Jadi sangat mengelirukan.

Oleh sebab itu, kalau kita tidak belajar sejarah, kita tidak boleh faham. Macam saya sebut berkenaan tenis, kali pertama diadakan pada tahun 1922. Pada 1922 dan 1923 pemenangnya adalah orang Jepun yang duduk di Singapura. Tetapi dari segi politik, orang dari Semenanjung tidak begitu suka Singapura. Mereka tidak mahu Singapura menguasai segala-galanya.

Tetapi Singapura sebagai pelabuhan utama, memang banyak kuasa. Semua eksport dan import kita biasanya melalui Singapura. Jadi keadaan sangat-sangat mengelirukan. Hanya orang yang buat penyelidikan dalam sejarah boleh faham.

Sekarang kita bercakap dengan orang biasa, mereka tidak faham. Orang Melayu sangat takut kalau penduduk Singapura bercampur dengan penduduk Tanah Melayu, orang bukan Melayu melebihi orang Melayu pada ketika itu.

ASTRO AWANI: Pembentukan Sabah dan Sarawak cukup signifikan dalam lipatan sejarah negara. Apa pandangan Tan Sri?

Khoo Kay Kim: Sabah Sarawak itu dipanggil Borneo Utara. Sebelum Perang Dunia Kedua, bukan pihak British yang secara langsung terlibat dalam pentadbiran Borneo Utara. Sarawak sejak 1842 dikuasi oleh keluarga Broke. Borneo Utara Sabah dikuasai 1882 dikuasi oleh Syarikat Borneo Utara.

Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, British cuba mewujudkan kesatuan Tanah Melayu (Malayan Union) gagal kerana Raja-raja dan orang Melayu protes.

Jadi Malayan Union dibatalkan digantikan Persekutuan Tanah Melayu. Di Borneo Utara dan Sarawak, keluarga Broke terpaksa menyerahkan Sarawak kepada pihak British dan begitu juga Syarikat Borneo Utara.

Jadi kedua-dua tempat itu menjadi tanah jajahan British. Jadi bila sampai awal 1960-an sebelum 1963 bila ada Tunku mainkan peranan penting dalam rancangan mewujudkan Malaysia, Sabah dan Sarawak dilibat dalam gerakan.

Peta Sabah, Sarawak

Penduduk di situ suka kerana mereka tidak mahu lagi tanah jajahan British. Sebenarnya di Sarawak, British ingin menguasai Sarawak, jadi ada seorang gabenor dibunuh oleh orang tempatan, Rosli Dhoby namanya.

Jadi mereka suka menjadi sebahagian dari Malaysia kerana Sabah dan Sarawak ada di pulau Kalimantan dan sebahagian besar pulau milik Indonesia. Mereka sangat takut kalau mereka berdiri sendiri akan ditelan oleh Indonesia dan Brunei juga diselamatkan diberi perlindungan oleh pihak British.

Begitu keadaannya. Jadi orang Sabah dan Sarawak pada ketika itu memang mahu mengambil bahagian dalam penubuhan Malaysia, hanya mereka juga mahu mengekalkan autonomi. Jadi dalam perjanjian, Malaysia terdiri daripada tiga bahagian, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Bukan 13 negeri yer, ramai orang salah faham. Sabah dan Sarawak setiap bahagian ada banyak autonomi. Jadi Semenanjung Malaysia ini tidak boleh mengarahkan mereka. Orang biasa tak faham.

Sebelum penubuhan Malaysia ada penuntut di Sarawak dan Borneo Utara belajar di Universiti Malaya. Kemudian, kedua-dua tempat ada universiti sendiri. Hanya Universiti Teknologi MARA (UiTM) ada di Sabah dan Sarawak.

Sekarang saya dapati orang di Semenanjung tidak faham orang di Sabah dan Sarawak dan mereka juga tidak faham. Mereka tidak bergaul. Itu masalahnya. Jadi bagaimana hendak jadi negara bangsa kalau berpecah macam ini? Sekarang hanya UiTM boleh menyelamatkan keadaan dan UiTM adalah universiti paling besar di dunia. Ada 13 kampus dengan 160,000 penuntut.

ASTRO AWANI: Adakah anda melihat definisi kemerdekaan itu berubah mengikut zaman seperti kemajuan teknologi dan maklumat?

Khoo Kay Kim: Saya rasa istilah Merdeka digunakan pada 1957 kerana masa itu keadaan di dunia memang begitu memberi perhatian kepada gerakan nasionalis.

Di benua Asia, banyak kawasan dikuasai negara Barat dan berjuang untuk capai kemerdekaan. Jadi Tanah Melayu pun nak ikut. Jadi siapa yang jadi nasionalis itu dipuji.

Tapi keadaan kita tak sama, keadaan kita jauh lebih baik daripada tempat lain dan apa yang sebenarnya berlaku pada 31 Ogos, 1957 adalah kita muncul sebagai negara bangsa.

Kalau hendak tahu apa itu negara bangsa, dalam bahasa Inggeris dipanggil Nation State. State merujuk kepada kawasan. Setiap state mesti ada kawasan dan sempadan tertentu, aspek geografi. Nation, bererti kerakyatan. Nationality. Bukan kaum.

Tapi orang tak faham. Jadi semua rakyat seluruh negara dipanggil nation. Sebab itu disebut 1Malaysia, maksudnya 1 Nation, bukan satu negara. Memang satu negara itu satu bangsa. Mengapa saya kata bangsa bererti nation? Kita terjemahkan United Nations Organisation sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Bukan Races atau United Races.

Ini semua perlu diajar kepada golongan muda di sekolah. Banyak orang nak bergaduh melalui komputer bila mereka tidak faham. Itulah masalah kita. 

ASTRO AWANI: Adakah anda melihat jurang perpaduan negara bangsa di negara ini semakin melebar atau sebaliknya?

Khoo Kay Kim: Lebih kurang sama sebab penduduk-penduduk di negara ini tidak begitu faham tentang kedudukan diri sendiri. Jadi mereka tidak faham apa peranan mereka. Orang yang menjadi rakyat sesebuah negara sepatutunya memberi kesetiaan sepenuhnya kepada negara ini.

Negara kita tidak menggalakkan orang mempunyai dua kerakyatan. Setengah negara membenarkan, tetapi kita tidak. Kalau sudah jadi rakyat Malaysia, kesetiaan 100 peratus mesti kepada Malaysia.

Mereka juga bukanlah hanya menikmati pelbagai hak tetapi ada peranan juga. Seorang rakyat ada peranan dan perlu memainkan peranan untuk membantu negara dan diri sendiri untuk mencapai kemajuan. Jika selalu bergaduh ia akan membawa kesan negatif.

Seperti saya kata sistem pendidikan kita tidak membantu mereka, golongan muda memahami siapa diri mereka.

ASTRO AWANI: Apa memori sejarah yang boleh dijadikan asas dalam mengukuhkan perpaduan?

Khoo Kay Kim: Macam-macam, yang paling penting dari semasa ke semasa ada orang asing tanya. Di seluruh dunia, mana ada dua orang Raja, tetapi Malaysia ada sembilan. Mengapa? Orang Malaysia pun ketawa, tidak tahu sejak bila ada sembilan Kerajaan. Sejak 1896.

Kerajaan diterjemahkan sebagai government. Salah. Kerajaan bererti ada Raja. Jadi istilah bahasa Inggeris yang paling sesuai adalah kingdom atau monarchy, bukan government. Misalnya di Indonesia, kerajaan tidak digunakan sebab tidak ada raja. Jadi perkara-perkara macam ini orang tidak faham.

Jadi mereka tidak tahu siapa mereka. Kalau dia kata dia macam saya, kalau saya kata saya orang Cina, itu bererti saya rakyat China. Saya bukan rakyat China, saya rakyat Malaysia. Keturunan, ya.

Siapa nenek moyang, nenek moyang datang dari mana, itu semua soal lain. Itu etnik. Bukan nationality. Sejak British mula ambil alih sistem pentadbiran, beransur-ansur undang-undang diutamakan. Jadi bila Rukun Negara digubal, dikatakan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Undang-undang macam mana? Misalnya, kita naik motosikal. Kalau ada lampu merah, kita tidak boleh bergerak, hijau baru boleh bergerak. Tapi orang Malaysia tidak faham, bila lampu merah, tiada kereta pun dia jalan. Undang-undang bukan macam itu, kita mesti patuh kepada undang-undang.

Tapi kalau mereka tidak faham tak boleh la. Itu satu aspek, undang-undang tidak dititik berat di sekolah. Jadi orang tidak tahu siapa sebenarnya warganegara, apa maksud negara. Macam kita selalu sebut hak kemanusiaan, adakah ia bererti kita boleh buat apa sahaja? Tidak boleh, mesti patuh kepada undang-undang.

ASTRO AWANI: Adakah subjek Sejarah di sekolah itu perlu bukan sahaja cerita berkenaan sejarah, tetapi juga bagaimana ia membantu membentuk diri pelajar itu sendiri?

Khoo Kay Kim: Macam Lukut, suatu masa dahulu Lukut merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor. Kemudian British ubah sempadan letakkan Lukut di bawah Negeri Sembilan dan Semenyih yang dahulunya di bawah Negeri Sembilan diletakkan di bawah Selangor.

Sungai digunakan sempadan oleh British. Sebelum British bukan. Sebelum British, kerajaan Melayu disebut sebagai contoh, Negeri Selangor bererti Sungai Selangor meliputi kawasan Sungai Selangor.

Negeri Selangor dan jajahan takluknya. Setiap jajahan biasanya kawasan sungai seperti Sungai Langat dan Sungai Lukut. Sungai Lumpur menjadi Kuala Lumpur. Ramai orang tidak tahu. Sungai Lumpur kemudian dipanggil Sungai Gombak. Jadi ini semua sangat penting.

ASTRO AWANI: Apa harapan dan sesuatu yang ingin anda lakukan pada usia 80 tahun, Tan Sri?

Saya sangat sedih kerana banyak yang saya nak lakukan untuk menjadikan negara bangsa semakin baik. Tetapi saya tidak dibenarkan. Nak mengajar sejarah pun tidak boleh. Orang muda tidak suka kerana kalau saya tidak ada, mereka boleh cakap apa sahaja. Kalau saya ada saya akan membetulkan mereka.

Tetapi dahulu bukan macam itu. Dahulu kita selalu kata change for the better. Tetapi sekarang saya nampak golongan muda ini bukan change for the better tetapi change just for the sake of change.

Walaupun apa yang sudah ada sekarang ini mungkin terbaik, mereka mahu tukar supaya mereka boleh kata 'Saya yang tukar'. Itu lah masalahnya. Orang yang tidak pernah hidup dahulu tidak faham bagaimana teraturnya hidup masyarakat kita. Di universiti, kami selalu bersaing di peringkat dunia. Sekarang mereka tidak peduli apa orang kata. Saya buat apa yang saya suka. Bolehkah kita mencapai kemajuan dengan cara yang begitu?

Tengok bola sepak, dulu kami tahun 1972 pasukan kita mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik dalam perlawanan pertama menentang Jerman di Jerman. Kita kalah 3-0 kerana Jerman negara yang utama di dunia dalam bola sepak.

Sekarang Malaysia lawan negara Arab, kalah 10-0. Mereka tidak tahu mengapa mereka begitu lemah. Saya dapati pemain kita juga dikehendaki bermain macam pemain-pemain di tempat lain. Tetapi di seluruh dunia, cara bermain bola sepak itu sudah merosot. Dahulu kita di Singapura ada Awang Bakar yang boleh menjaringkan 13 gol dalam satu permainan.

Sekarang ada ke pemain macam itu? Cara mereka tendang bola pun tidak betul. Mereka tidak mahu belajar. Faktor fizikal sama sahaja. Macam pasukan sekolah saya, murid sekolah boleh kalahkan pasukan tentera yang terbaik negara ini, Royal Scots Youth Football. Mereka datang dari Scotland. Kami budak sekolah sahaja.

Pada tahun bulan November 1934, bila pasukan hoki Perak lawan pasukan hoki Negeri Sembilan, Perak turunkan sembilan pemain dari Clifford School Kuala Kangsar. Mereka ini murid sekolah. Pihak British begitu mengutamakan sukan, masa itu dipanggil Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ditubuhkan disediakan padang sukan yang paling besar di seluruh Tanah Melayu.

Setiap kampung pun ada padang untuk bola sepak, jadi orang Melayu begitu cemerlang dalam permainan bola sepak. Pemain yang paling terkenal ketika itu adalah Nur Fatah. Ramai bapa begitu bangga hingga menamakan anak Abdul Fatah. Sekarang mana ada, tiada lagi.

ASTRO AWANI: Adakah perlu diwujudkan subjek Negara Bangsa seperti subjek Sivik yang menjadi silibus di sekolah ketika ini?

Khoo Kay Kim: Sebenarnya tidak perlu. Sejarah begitu luas, sejarah menunjuk kepada segala yang pernah wujud atau yang pernah berlaku. Pembuatan ada sejarah, kejuruteraan pun ada sejarah, Kuala Lumpur ada sejarah, Ipoh ada sejarah, sistem beraja ada sejarah, kaum Melayu ada sejarah.

Kalau kita belajar sejarah, apa yang penting ialah kita mesti menentukan apa kita ingin tahu tentang keadaan sebelum ini. Malaysia ini mempunyai banyak bahan, bukan di Malaysia sahaja di banyak negara ada bahan. Hanya negara kita perlu belajar bahasa dia. Tetapi tempat yang paling sesuai untuk belajar adalah London dan kedua Singapura.

ASTRO AWANI:  Bolehkah kita mengambil semula bahan-bahan arkib atau koleksi sejarah itu dibawa pulang ke Malaysia?

Khoo Kay Kim: Boleh bawa balik, tapi kena jaga. Banyak bahan di perpustakaan, tetapi tidak dijaga. Di London dan Singapura, mereka jaga. Misalnya kalau kita nak baca akhbar pertama negara ini yang dikeluarkan pada 1805, The Prince of Wales Island Gazette, di London boleh baca. Mereka simpan.

Di sini tidak ada, macam-macam tidak ada. Mereka tidak faham bagaimana pentingnya dokumen sejarah. Tanpa dokumen itu, kita tidak boleh baca, bercakap sahaja. Mesti ada bukti. Macam saya kata negara ini biasa. Bukan sebuah negeri yang kecil. Selalu dipuji oleh orang di luar Tanah Melayu dan kita bernasib baik kerana ada akhbar. Pada suatu masa, ada tujuh akhbar Inggeris dari Pulau Pinang sampai ke Singapura.

Malay Mail mula diterbitkan pada 1896, tidak berhenti sampai sekarang. Zaman Jepun pun dikeluarkan dipanggil Malay Shinbun. Bahan-bahan tentang Tanah Melayu semasa zaman Jepun semua berada di Taipei kerana Jepun memerintah Tanah Melayu pada ketika itu. Jadi kalau baca dalam bahasa Inggeris pun boleh. Di Portugis pun ada, di Jerman pun ada, Perancis ada, Jepun ada, China pun ada dan di Bangkok pun ada.

Tetapi bila saya minta orang muda belajar bahasa Thai, pergi Bangkok, mereka tidak mahu. Di India pun banyak sebab hubungan kita dengan India sudah berlaku sejak zaman Syarikat India Inggeris sampai ke sini. Jadi mereka yang merampas Pulau Pinang pada 1786.

Kalau kita tidak belajar sejarah, kita tidak tahu Francis Light merampas Pulau Pinang bukan diberi kuasa oleh Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang. Dia merampas. Stamford Raffles menipu untuk mendapat Singapura. Ramai tidak tahu.