Seorang penternak ‘lembu sado’ atau lembu bersaiz gergasi dari baka import mendedahkan, belaian kasih sayang dan komunikasi akan menyebabkan haiwan berkenaan jinak dan membesar dalam saiz yang luar biasa.

Bukan sahaja tumpuan pemakanan dan kebersihan kandang, penjagaan rapi termasuk memandi dan mengurut badan lembu selain berkomunikasi dengan binatang tersebut menyebabkan lembu menjadi gembira sekaligus menyebabkan ia membesar dengan baik dan tahan penyakit.

Tips ini dikongsikan oleh Abdul Rahim Salleh, seorang pemilik lembu baka Limousin dari Tawang, Bachok yang mempunyai seekor lembu seberat 1.3 tan.

Lembunya bernama 'Merah' yang dipeliharanya sejak ia kecil, kini telah mencecah usia lebih tiga tahun.

Menurut Abdul Rahim, cara dia menjaga Merah melebihi penjagaan terhadap dirinya sendiri sehingga lembu itu jinak dan memahami bahasa yang dia tuturkan.

"Saya tidak mahu korbankan dia, hendak pelihara saja. Ada orang tawar hendak beli dengan harga RM30,000 tetapi saya tidak mahu jual. Merah jinak dan manja dengan saya, saya urut dan belai dia setiap hari… sebab itu daging badan dia lembut.

"Saya mandikannya empat kali sehari dengan syampu, sebab itu bulunya lembut dan berbau wangi. Saya sendiri pun mandi dua kali sehari saja,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Expo Pertanian Kelantan 2018 di sini, hari ini.

Ujarnya, dia menolak tawaran untuk menjual Merah kerana terlalu amat menyayanginya dan menganggapnya sebagai sebahagian dari keluarganya.

Abdul Rahim mendedahkan, Merah hanya diberi makanan berkualiti dan kos makanan yang dibelanjakan untuk lembunya peliharaannya itu mencecah hampir RM1,000 sebulan.

Ketika sesi temuramah, Merah hanya memerhati wartawan ini bersama tuannya, bahkan ketika Abdul Rahim memanggil namanya, lembu itu mengangkat muka dan memerhati tuannya seolah-olah mengetahui, tuannya memanggil namanya.

Abdul Rahim mempercayai lembunya memahami percakapannya kerana sentiasa berkomunikasi dengan Merah hampir setiap hari.

Sementara itu, seorang lagi penternak lembu sado baka import, Mohd Safian Shafie dari Pasir Puteh, menggunakan kaedah lain dalam penjagaan haiwannya.

Lembunya yang diberi nama 'Abu', didengarkan bacaan ayat Al-Quran bagi melembutkan daging serta menyihatkannya.

Abu, lembu peliharaan Mohd Safian, didengarkan bacaan ayat Al-Quran untuk melembutkan dagingnya dan menyihatkannya. - Astro AWANI
Mohd Safian berkata, dia membelanjakan RM600 sebulan untuk makanan Abu, menjaganya dengan penuh perhatian termasuk memandi dan mengurut badan lembu itu.

Abu kini berusia tiga tahun dua bulan dan beratnya 940kg.

“Abu mandi dua kali sehari. Saya bagi dia dengar bacaan Al-Quran, termasuk melalui radio dan juga sebab kendang dia terletak berdekatan dengan surau.

“Saya tidak mahu jual lagi, hanya hendak pelihara dulu. Ada orang tawar RM15,000 untuk Abu tetapi saya tidak mahu jual lagi,” katanya ketika ditemui di acara sama.

Mohd Safian menganggap Abu sebahagian dari keluarganya dan kasih sayang dan belai manja turut dicurahkan kepada lembu itu.

Mohd Safian dan Abdul Rahim merupakan antara penternak lembu berjaya di Kelantan dengan kaedah penjagaan ke atas haiwan mereka mengikut saranan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan ada mencadangkan supaya penternak tempatan mengamalkan pemeliharaan lembu berkualiti termasuk memberi lembu dengar bacaan Al-Quran bagi mendapatkan daging yang lembut dan berkualiti setanding daging Kobe – lembu berkualiti di Jepun yang mana dagingnya mencecah ribuan ringgit sekilogram.