Badan bukan kerajaan (NGO) Perak Women for Women (PWW) menubuhkan Kedai PWW dengan sasaran memperkasakan golongan wanita dengan menyediakan pelbagai peluang perniagaan.

Menurut Pengerusi PWW, S. Sumathi, kedai itu juga akan menyumbangkan semula kesemua pendapatan yang dijana kepada program pemerkasaan wanita seperti kelas latihan, sulaman, anyaman, dan pembuatan kraftangan.

“Kita menjemput wanita yang mempunyai kemahiran tersendiri dan menjual barangan yang dihasilkan di kedai ini. Katakan mereka mahir dalam manik, atau membuat beg, menjual barangan mereka kedai ini boleh menjadi tempat permulaan untuk mereka.

“Kedai yang baru sahaja beroperasi selama tiga minggu ini sudah mendapat sambutan yang memberangsangkan,” kata S. Sumathi.

Malah, katanya, pendekatan ini dilihat lebih efektif berbanding dengan ceramah dan motivasi yang diadakan untuk wanita yang ditindas di kawasan itu.

Kata S. Sumathi, menyedari krisis keganasan rumah tangga yang berterusan, dia berharap Kedai PWW dapat menyuntik semangat dan memberi peluang untuk wanita membentuk semula hidup mereka.

“Ada mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan bantuan kewangan dan kami juga akan menilai setiap kes. Namun kami akan mengutamakan mereka yang mahu memulakan perniagaan."

Sementara itu, Pengasas PWW, Yip Siew Keen berkata barangan yang dijual di kedai semuanya bernilai RM50 ke bawah, justeru memberi peluang kepada orang ramai membeli barangan di kedai itu pada harga yang mampu dan berkualiti.

PWW kini dalam perancangan untuk menghasilkan kemeja-T bersama slogan dan logo yang dicipta oleh golongan belia yang lengkap dengan mesej kesedaran mengenai wanita yang ditindas, keganasan rumah tangga serta penderaan kanak-kanak.