Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Penularan demam campak di KL masih belum disifatkan sebagai epidemik

Penularan demam campak di KL masih belum disifatkan sebagai epidemik
Ketua penolong pengarah kawalan penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Rohani Jais ketika dihubungi memaklumkan kementerian akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan penularan campak dan cacar air di KL.- Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Susulan dakwaan penularan demam campak dan cacar air di Kuala Lumpur,penularannya masih belum disifatkan sebagai wabak atau epidemik.

Ini kerana menurut pensyarah dan penyelidik fakulti perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Noran Naqiah Hairi, penularannya tidak kelihatan dalam kalangan komuniti atau ia belum didiagnos lebih daripada dianggarkan.
Beliau diminta mengulas mengenai keraguan penularan demam campak dan cacar air di Kuala Lumpur susulan tindakan segelintir pegawai perubatan serta jururawat membuat pemeriksaan lanjut mengenainya.

Dr Noran turut menarik perhatian bahawa apabila sesuatu kes penyakit itu dikesan lebih daripada dua, ia adalah epidemik dan bukan sebaliknya.
"Jadi macam penyakit berjangkit seperti penyakit campak, measles ataupun chickenpox kita selalunya tak nampak dalam komuniti tapi kemudian kalau ada kes-kes yang didiagnose chickenpox atau measles melebihi daripada yang kita anggarkan, ini yang kita panggil sebagai ‘outbreak’ ataupun epidemik," kata beliau apabila dihubungi Astro AWANI.


Sementara itu beliau memberikan nasihat berikut jika mengetahui atau mengesan sebarang kes penyakit campak dan cacar air, "Ini penyakit yang berjangkit yang kita kata kena melaporkan kepada pegawai kesihatan.

"Jadi sememangnya melaporkan kes penyakit berjangkit ini memang ada dalam akta seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Jadi apabila macam measles disahkan dua kes ataupun melebihi daripada dua,  ini boleh dikatakan sebagai satu 'outbreak' ataupun satu epidemik."

Dr Noran juga apabila ditanya tahap kesedaran orang ramai tentang kepentingan mengambil vaksin,beliau menjelaskan, ia perlu dipertingkatkan memandangkan vaksin untuk penyakit seperti cacar air dan campak perlu diberi secepat mungkin.

Dalam perkembangan sama, ketua penolong pengarah kawalan penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Rohani Jais ketika dihubungi memaklumkan kementerian kesihatan akan mengeluarkan  kenyataan rasmi mengenai perkembangan penularan campak dan cacar air di Kuala Lumpur.

Isu mengenainya menimbulkan kekhuatiran apabila terdapat laporan pada Ahad  bahawa seorang doktor mendakwa melihat pemeriksaan keberkesanan bekalan vaksin oleh pegawai kesihatan di sebuah klinik di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, sekumpulan jururawat membuat pemeriksaan rumah ke rumah ke atas kanak-kanak berhubung perkara sama.